[VIDEO] Kebakaran hutan LA ragut 5 nyawa, Wisma Putra sahkan tiada rakyat Malaysia terkesan


  • Primer
  • Khamis, 09 Jan 2025

Kebakaran hutan disebabkan angin kencang di kawasan tersebut menyukarkan usaha bomba untuk mengelakkan api daripada tersebar. — Agensi

KEMENTERIAN Luar melalui Konsulat Jeneral di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat sedang memantau secara teliti mengenai kebakaran hutan di wilayah tersebut sehingga memaksa seramai 30,000 penduduk berpindah setakat Rabu.

Dalam kenyataan dikeluarkan, kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra itu berkata, kebakaran sudah memusnahkan beberapa bangunan serta membakar hampir 1,200 hektar kawasan Pacific Palisades.

"Konsulat Jeneral sedang memantau secara dekat mengenai situasi di sana. Tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terkesan setakat ini. Kementerian akan terus memantau perkembangan berkaitan kebakaran hutan dan memberikan kemas kini sekiranya perlu," menurut kenyataan itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Tiada rakyat Malaysia terjejas gempa bumi di Nepal — Wisma Putra

BACA LAGI: Wisma Putra sahkan 2 rakyat Malaysia terlibat nahas di Norway selamat, sihat

Wisma Putra menggesa rakyat Malaysia yang berada atau mengunjungi kawasan terjejas untuk berhati-hati, mematuhi arahan pemindahan tempatan dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini melalui kemas kini rasmi.

Ia juga menggalakkan rakyat Malaysia di Los Angeles untuk mendaftar kehadiran mereka melalui sistem E-Konsular dan mengekalkan hubungan rapat dengan Konsulat Jeneral untuk kemas kini dan bantuan.

Kebakaran hutan yang berlaku di LA difahamkan terjadi akibat cuaca kering dan angin kencang yang menyebabkan pihak bomba sukar mengawal api daripada terus merebak dengan pantas.

Berdasarkan laporan semasa, seramai lima mangsa sudah meninggal dunia akibat kebakaran tersebut dengan pelbagai usaha diambil bagi mengelakkan kebakaran menyebabkan kerosakan lebih serius. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram