[VIDEO] Hilang ibu bapa akibat tsunami, Qurrata bangkit buka kafe Morning Mama, ubah stigma wanita Aceh


  • Bizz
  • Rabu, 15 Jan 2025

Pemilik Morning Mama, Qurrata Ayuni (tengah) bersama dua kakitangannya.

DI tengah-tengah konservatisme Aceh, seorang wanita berusia 28 tahun mencipta sejarah sebagai pemilik kafe pertama yang dikendalikan sepenuhnya oleh wanita.

Selepas kehilangan ibu bapa akibat tsunami Lautan Hindi pada 2004, Qurrata Ayuni bangkit dengan penuh ketabahan dan kini menjadi pemilik kafe Morning Mama.

Berbeza dari kafe yang lain, Morning Mama mementingkan ruang dikhususkan untuk golongan wanita.

BACA LAGI: Gulai belut dan stimbot keju jadi tumpuan, ini 5 port makan tawar menu enak wajib singgah di Kelantan

BACA LAGI: Dari krim kek ke cat kanvas, Satira Diana gabung jawi, pantun Melayu klasik hasilkan karya sarat mesej mendalam

Mengimbau kenangan lama, kehidupan Qurrata pernah diselubungi kesedihan sewaktu kehilangan ibu bapanya dalam tragedi tsunami yang mengorbankan lebih 200,000 nyawa.

Namun, dia tidak membiarkan kesedihan itu mematahkan semangatnya.

Selepas dibesarkan oleh bapa saudara dan ibu saudaranya, Qurrata mengumpul wang daripada pekerjaan fotografi untuk merealisasikan impiannya membuka kafe.

Sokongan moral dan kewangan daripada keluarganya turut memainkan peranan penting dalam kejayaannya.

"Saya mahu menjadikan pengalaman pahit ini sebagai inspirasi untuk membantu wanita lain mencari kekuatan mereka sendiri," katanya.

Meskipun Banda Aceh dikenali sebagai 'Kota 1,001 Warung Kopi', Qurrata membawa kelainan dengan membuka kafe pertama dikendalikan sepenuhnya oleh wanita di wilayah yang konservatif itu.

"Saya mahu mewujudkan tempat yang selesa dan bebas daripada gangguan, di mana wanita boleh bekerja, bertemu rakan atau sekadar berehat," katanya.

Aceh telah lama dikenali dengan kopi berkualiti tinggi dihasilkan di kawasan tanah tinggi yang subur.

photo_6064544198079660676_x

Sup wonton yang dihidangkan di kafe Morning Mama.

Tradisi itu berakar sejak zaman penjajahan Belanda dan kopi seperti sanger, latte dengan campuran susu pekat manis sehingga menjadi minuman kegemaran ramai.

Namun, di sebalik populariti budaya kopi itu, peranan wanita dalam industri tersebut sering terhalang oleh norma sosial dan undang-undang syariah yang ketat.

"Kerjaya seperti menguruskan kafe biasanya dianggap hanya untuk lelaki. Wanita yang mencuba sering menghadapi kritikan atau tekanan sosial," jelas Andreas Harsono dari Human Rights Watch.

Dengan membuka Morning Mama, Qurrata berusaha melawan stigma tersebut.

Memiliki kelebihan tersendiri, kafenya menawarkan suasana tenang dan bebas asap rokok sehingga menjadikannya tempat yang selesa untuk wanita.

Kafe itu juga menyediakan buku kanak-kanak serta produk kebersihan wanita sebagai tambahan kepada kopi segar yang disajikan oleh barista wanita.

"Bagi saya, itu lebih daripada sekadar kafe. Ia adalah simbol bahawa wanita mampu memimpin dan membuat keputusan," tegas Qurrata.

photo_6064544198079660675_x

Ramai pelanggan wanita teruja dengan pembukaan kafe Morning Mama.

Pelanggannya, yang kebanyakannya datang daripada wanita berhijab turut memuji konsep kafe itu.

Antaranya, seorang pelajar, Meulu Alina, beranggapan berbual dengan barista wanita di situ terasa seperti bercakap dengan kakak sendiri.

"Sangat menyenangkan," puji gadis berusia 21 tahun itu.

Kini, Qurrata menggaji lima orang wanita dan dua lelaki di kafenya.

Malah, lebih 1,000 wanita telah memohon untuk bekerja sebagai barista di Morning Mama.

"Saya mahu memberi peluang kepada wanita muda Aceh untuk mencipta perubahan dalam hidup mereka," kata Qurrata.

Walaupun terdapat lelaki yang meragui kebolehan wanita untuk berjaya dalam bidang itu, Qurrata yakin bahawa masyarakat sedang berubah.

"Generasi tua kini mula memahami bahawa wanita juga mampu mencapai kejayaan," katanya.

Qurrata berharap usaha kecilnya itu dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai wanita di Aceh untuk mengejar impian mereka.

"Kita wanita mampu menjadi pemimpin, pencipta, dan inovator. Jangan biarkan ketakutan menghalang kita daripada mencapai potensi sebenar," katanya. — The Star/JACK MOORE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram