[VIDEO] Sering tolong bapa di restoran jadi dorongan 3 sekawan buka pintu Hening, guna ramuan asli dari Johor dan Perak


  • Bizz
  • Rabu, 01 Jan 2025

Kerabu limau bali merupakan antara menu yang patut dicuba di restoran Hening, Lorong Damai 1, Kuala Lumpur.

RESTORAN yang mengutamakan masakan Melayu klasik dalam suasana moden, Hening menjadi perhatian ramai 'food hunter' di Kuala Lumpur (KL) sejak dua tahun lepas.

Tiga usahawan muda iaitu Chef Mohd Syariman Zulkifli bersama dua beradik, Irham Shah Azhar dan Ehsanuddin Shah Azhar (Ehsan) bergabung untuk membawa masakan Melayu ke ruang yang lebih elegan, selesa dan mengatasi imej kedai makan tepi jalan.

Irham yang sebelum ini bekerja di bank beranggapan agak terhad untuk mencari sesebuah restoran yang benar-benar mengkhususkan masakan Melayu tradisional.

"Itu menjadi dorongan kami untuk membuka Hening, sebuah restoran moden yang mengutamakan masakan Melayu dalam suasana yang lebih mesra," katanya.

BACA LAGI: Seni digital Soefara Jafney, suntik semangat pahlawan wanita Melayu ke dunia moden

BACA LAGI: Dari Bali ke Uganda, pelancongan kampung saji keindahan alam, budaya seni tempatan

photo_6309655894308276958_y

Irham (kiri) dan Ehsan (kanan) yang merupakan adik-beradik bergabung tenaga bersama Syariman (tengah) untuk memperjuangkan makanan tradisional Melayu melalui restoran Hening.

Dengan pengalaman mereka sebagai pemilik medan selera di Kampung Datuk Keramat, KL, serta bimbingan daripada ayah kepada Syariman yang juga merupakan bekas cef di sebuah hotel, Zulkifli Aziz, mereka berjaya menemui sebuah banglo lama yang terletak di Jalan Damai dengan kawasannya tenang serta strategik.

Walaupun pemilik asal agak ragu-ragu untuk menyewakan bangunan tersebut, namun, mereka berjaya meyakinkan beliau setelah berkongsi tentang visi mereka yang jelas.

“Kami terus jatuh cinta dengan reka bentuk seni bina vintaj, taman yang luas dan lokasi yang strategik.

"Kini, pemilik asal dah jadi salah seorang pelanggan tetap kami," kata Irham.

Banglo yang pada asalnya mempunyai reka bentuk retro seperti lantai terrazzo dan konfigurasi bilik yang unik tetap dikekalkan.

Ehsan, 33, yang merupakan seorang arkitek, menggunakan kepakarannya untuk memperbaharui Hening dengan tema dalaman serba putih yang memberikan ilusi lebih terang.

photo_6309655894308276961_y

Karya seni tempatan dan kertas dinding berwarna-warni menyuntik keunikan kepada salah satu ruang makan di dalam Hening.

Lukisan-lukisan menarik oleh artis tempatan, Rahim Ismail, yang menggambarkan suasana kampung dan bandar memberi sentuhan warna yang menambah keunikan pada restoran itu.

“Hening juga berfungsi sebagai galeri seni. Pelanggan boleh menikmati karya seni yang dipamerkan dan juga membeli karya yang mereka minati.

"Bagi artis, Hening adalah ruang yang tidak konvensional untuk mempamerkan karya mereka serta tempat yang sesuai untuk membawa pelanggan melihat karya seni," kata Ehsan.

Setiap daripada mereka dipertanggungjawabkan dengan peranan yang cukup jelas.

Sebagai contoh, cef Syariman, dengan pengalaman lebih 17 tahun dalam industri makanan bertanggungjawab atas menu dan operasi dapur restoran.

"Minat saya dalam masakan bermula sejak kecil ketika membantu ayah di restoran. Saya juga pernah bekerja di beberapa tempat seperti Ben’s Independent Grocer, sebuah restoran di Genting Highlands dan restoran sushi,” kata Syariman.

photo_6309655894308276962_y

Masak lemak siakap goreng menampilkan kuah berperisa kunyit yang diperkaya dengan santan.

Syariman berkata, masakan Melayu adalah yang paling dekat di hati walaupun beliau berpengalaman luas dalam masakan Barat dan Jepun.

"Bagi saya, tiada yang lebih enak daripada nasi dengan ikan goreng, telur mata dan sambal belacan," tambahnya.

Irham pula menguruskan hal berkaitan pemasaran dan kewangan, selain Ehsan yang bertanggungjawab terhadap pengurusan tenaga kerja dan jadual kerja.

Dalam masa lapangnya, Irham gemar mencari tempat makanan Melayu yang menarik dengan menunggang motosikal.

“Salah satu cabaran terbesar dalam mengendalikan restoran adalah mencari kakitangan terutama di dapur kerana kami bersaing dengan hotel dan restoran yang lebih besar,” kata Ehsan.

Namun, mereka berjaya menarik beberapa bakat tempatan yang serasi dengan operasi Hening.

Selain itu, mereka tidak beroperasi pada waktu malam kecuali untuk tempahan majlis perkahwinan atau acara khas yang memberi ruang untuk staf meluangkan masa bersama keluarga.

photo_6309655894308276964_y

Daging batang pinang bakar yang hidangkan bersama air asam.

Hening berusaha memastikan keaslian dan kualiti masakan Melayu yang disajikan, dengan mencari bahan-bahan terbaik seperti keropok lekor dari Terengganu dan pekasam dari Perak.

Irham menyedari bahawa meskipun mereka berusaha untuk memberikan yang terbaik, ada pelanggan yang berpendapat bahawa hidangan mereka kurang autentik.

“Selagi kami tetap berpegang pada visi kami, kami percaya pelanggan yang setia akan terus menyokong kami.

"Harga di Hening berpatutan, sesuai untuk golongan pertengahan dan ke atas. Sejak pembukaan, kami mendapat maklum balas yang sangat positif," tambahnya.

Mengekalkan kelangsungan perniagaan restoran adalah satu cabaran, namun Irham mengakui bahawa mereka kini lebih bersedia merancang strategi pemasaran bagi mengatasi musim yang lebih perlahan.

“Kami tidak boleh hanya menunggu pelanggan datang. Kami perlu merancang dan mengambil inisiatif tertentu," ujarnya.

Hening boleh menampung sehingga 160 pelanggan termasuk ruang taman luar yang sesuai untuk majlis perkahwinan dan acara korporat, yang diharapkan dapat diperluaskan dalam beberapa bulan akan datang.

Menu Hening memfokuskan pada hidangan-hidangan khas dari Johor dan Perak, dengan kebanyakan hidangan direka untuk perkongsian bersama (sharing).

Antara hidangan yang menarik untuk dicuba adalah kerabu limau bali (RM15), salad pomelo pedas, masam dan masin; ikan pekasam utara (RM15), ikan loma pekasam dari Perak yang disajikan dengan nasi putih daun pisang (RM4); masak lemak daging salai (RM40), masak lemak siakap goreng (RM45), daging batang pinang bakar air asam (RM40) dan asam pedas jenahak (RM45).

Pencuci mulut yang disediakan termasuk pisang madu tiga (RM12) iaitu pisang karamel dengan aiskrim vanila, serta sagu gula melaka (RM10) yang dihidangkan dengan mangga segar.

Hening juga menawarkan hidangan ringan seperti karipap, onde-onde dan bubur caca bermula dari pukul 3 petang.

Bagi yang mencari minuman menyegarkan, Hening menawarkan Hening Pagi (RM12) yang menggunakan jus delima segar, Hening Senja (RM12) yang menggabungkan strawberi, soda dan lemon, serta Hening Malam (RM12) dengan jus tembikai segar dan soda.

Dengan suasana yang tenang dan santai, Hening yang dibuka setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga pukul 6 petang merupakan destinasi tepat untuk penggemar masakan Melayu. — The Star/ALICE YONG

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram