[VIDEO] Chef Sakura rangkul pingat emas di pertandingan memasak Jepun, martabat hidangan tradisional Malaysia di mata dunia


Chef Sakura merupakan juara bagi Sustainability Award dalam World King of Chefs Summit Japan 2024 baru-baru ini.

HIDANGAN tradisional Malaysia iaitu nasi ulam bunga telang berjaya diangkat ke dunia selepas tukang masak wanita meraih juara bagi kategori Sustainability Award dalam World King of Chefs Summit Japan 2024, Jepun baru-baru ini.

Dalam satu hantaran di Facebook, tukang masak berasal Malaysia, Chef Siti Sakura Mohd Tawil berasa bangga dapat memperkenalkan nasi ulam bunga telang yang merupakan hidangan tradisional masyarakat Malaysia kepada dunia

“Alhamdulillah, terima kasih kepada Allah atas kemenangan ini," katanya.

Pertandingan tersebut menampilkan lima kategori iaitu Well-being, Sustainability, Creativity, Healthy Beauty dan Plant-Based Award dengan tema Healthy & Plant-Based Food.

Panel hakim terdiri daripada lima chef terkenal dari Jepun.

Dalam hantaran yang sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Duta Besar Malaysia di Tokyo, Datuk Shahril Effendi Abd Ghany, serta isteri beliau, Datin Suriyah Abdullah atas sokongan yang tidak berbelah bahagi.

Tidak ketinggalan, Chef Sakura juga berterima kasih terhadap pembantu-pembantu dan pelajar kulinari dari Jepun yang membantu melaksanakan tugasan dengan cemerlang.

"Kepada penolong saya yang hebat Sheela Azlan dan Seina San (pelajar masakan Jepun), anda berdua melakukan kerja yang hebat, Arigatou gozaimasu!.

"Terima kasih juga kepada keluarga tersayang di Malaysia serta keluarga besar saya di Jepun yang sentiasa mendoakan dan menyokong," katanya.

Untuk rekod, pertandingan itu ditaja oleh Pasona Group dan menjadi platform penting untuk mempromosikan masakan sihat dan mesra alam ke peringkat antarabangsa.

Disebabkan kemenangan itu, nasi ulam bunga telang bukan sahaja mengangkat martabat masakan tradisional Malaysia tetapi juga menyerlahkan elemen kelestarian dalam seni kulinari global. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram