[VIDEO] Tidak lupa asal usul Perak dan Malaysia, Nor Azira cekal menjaga dua anak istimewa di perantauan


  • Relaks
  • Selasa, 07 Jan 2025

Nor Azira sentiasa berwajah ceria walaupun mengharungi cabaran membesarkan anak-anak istimewa.

RAMAI kagum melihat wajah ceria yang selalu dipamerkan seorang anak jati Perak yang telah merantau ke Norway selama hampir 15 tahun.

Wanita itu, Nor Azira Abdul Aziz berpindah ke Norway demi menyokong kerjaya suaminya dalam industri minyak dan gas.

"Saya pindah di Norway sejak Oktober 2011 hingga sekarang. Suami saya mendapat peluang untuk bekerja di syarikat minyak dan gas di Norway," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-12-31 at 3.58.29 PM

Nor Azira dan keluarga tercintanya di Norway.

Cabaran yang ditempuhi di perantauan bukanlah sesuatu yang mudah terutama dengan amanah membesarkan dua anak istimewa yang memerlukan perhatian penuh dan kasih sayang.

Anak sulungnya, Nur Fazera Akmal yang kini berusia 13 tahun didiagnosis dengan autisme tahap sederhana (moderate autism).

Anak keduanya pula, Nur Firzanah Akmal yang berusia 10 tahun, hidup dengan kaki palsu kerana menghidap sejenis penyakit radang kronik, juvenile systemic arthritis.

Dalam setiap langkah perjuangannya, Nor Azira membuktikan ketabahan luar biasa meskipun ujian yang dihadapi sangat mencabar.

“Bila teringat semula masa anak saya sakit, saya selalu tepuk diri sendiri.

"Saya kuat dari segi mental dan fizikal kerana berjaya melalui keperitan itu.

"Saya juga mampu bertenang dan tidak menangis di hadapan anak-anak walaupun hati saya luluh melihat penderitaan mereka,” katanya.

Di Norway, Nor Azira bersyukur kerana menerima bantuan yang sewajarnya untuk anak-anaknya.

Nur Fazera masih menjalani terapi percakapan dan tingkah laku di sekolah khas dengan sokongan dua pembantu khusus.

photo_6318927500339693235_x

Kaki Nur Firzanah sebelum dipotong.

Sementara itu, Nor Azira berkata, Nur Firzanah mendapatkan rawatan berterusan untuk kaki palsu dan penyakit arthritisnya di hospital.

Pada awalnya, rawatan penyakit arthritis memerlukan rawatan bulanan ke hospital tetapi kini kekerapan rawatan itu berkurang, bergantung kepada simptom yang muncul.

“Setakat ini, Alhamdulillah, rawatan dan terapi di sini banyak membantu anak-anak saya menjalani kehidupan dengan lebih baik,” tambah Nor Azira dengan nada syukur.

Pengalaman hidup bersama anak-anak istimewa mendorong Nor Azira untuk menyertai kursus kerjaya di Norway, dikenali sebagai Arbeids og Kommunikasjon Kurs.

Dalam kursus itu, peserta diberi pilihan untuk memilih bidang seperti kerja pejabat, kedai, tadika atau hospital.

WhatsApp Image 2024-12-31 at 4.10.52 PM

Nor Azira memanfaatkan pengalamannya menjaga anak-anak istimewa untuk bekerja sebagai pembantu tadika di Norway.

Nor Azira memilih tadika, memanfaatkan pengalamannya sebagai ibu kepada anak-anak istimewa.

Kini, beliau bekerja sebagai pembantu tadika di Blåbærstua Barnehagen, sebuah tadika di Norway.

"Saya dapat rezeki kerja secara full-time di sekolah tadika kerajaan Norway," katanya.

Peranan yang digalas memberikan peluang untuk beliau menyumbang kepada komuniti sambil membuktikan kemampuannya sebagai anak kelahiran Parit, Perak yang cekal di perantauan.

Walaupun telah lama menetap di Norway, Nor Azira tidak pernah melupakan asal-usulnya.

Di media sosial seperti TikTok, Threads dan Instagram, beliau sering menggelar dirinya sebagai ‘anak jati Perak dan anak Malaysia’.

Perkara ini membuat ramai pengikutnya kagum dengan kecekalan dan semangat Nor Azira dalam membesarkan anak-anaknya.

"Selagi darah yang mengalir adalah darah dari anak Malaysia, selagi itulah kita pegang jati diri sebagai anak di mana kita dilahirkan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram