Bekas penyanyi nasyid julang nama Malaysia di Republik Czech, 'Mek Kelate' teringin sertai program realiti TV


  • Hiburan
  • Jumaat, 03 Jan 2025

Nur Syafawati Damia menang tempat pertama di International Folklore and Music Competition Prague, Czech Republik 2024 baru-baru ini.

BIARPUN baru berusia 17 tahun, gadis kelahiran Jeli, Kelantan, Nur Syafawati Damia mencipta sejarah di pentas dunia apabila merangkul tempat pertama kategori Vocal Duet of Excellent Group di International Folklore and Music Competition Prague, Republik Czech 2024 baru-baru ini.

Menyampaikan lagu Bergending Dang Gong nyanyian Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Allahyarham Datuk SM Salim, Damia bersama pasangan duetnya, Nik Muhamad Firdaus Putra Nik Aziz menewaskan 40 peserta lain dari pelbagai negara.

Mula meminati bidang nyanyian seawal usia lima tahun, Damia terlebih dahulu menceburkan diri di pentas nasyid sekolah sebelum mula berjinak dalam muzik irama tradisional di peringkat menengah.

BACA LAGI: 'Intro' singa ikonik filem terbitan syarikat Hollywood rupanya pernah ditukar 5 kali, tercetus dari idea skuad olahraga universiti

BACA LAGI: Populariti The Rock di Hollywood bagaikan 'rezeki terpijak', tewaskan 2 lagi penggusti hebat WWE

Atas dorongan ibu bapa dan guru di sekolah, anak sulung dari empat beradik itu membuktikan dirinya berbakat besar apabila menjuarai pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan, sekali gus mewakili negara ke pentas antarabangsa.

"Syukur sangat keluarga dan guru banyak membantu saya untuk sampai ke tahap ini, dengan muzik irama Melayu saya buktikan Malaysia boleh.

"Saya bermula sebagai penyanyi nasyid di sekolah kemudian cikgu (Suhaida Sukri) pilih untuk wakil pertandingan nyanyian ke daerah dan negeri, belajar kelas vokal dan terus menang di Prague.

"Memang idola saya Siti Nurhaliza, lagu irama Melayu saya minat sangat dan seronok nyanyi lagu kita pada orang luar, tapi tak sangka bolehmenang sebab susah nak bawa lagu ni," katanya kepada Majoriti.

Bercakap lanjut soal hala tuju dalam bidang nyanyian, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli ini memasang impian untuk bergelar pensyarah muzik satu hari nanti.

Usai tamat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Damia mahu melanjutkan pelajaran di peringkat universiti dalam bidang muzik seterusnya mengembangkan lagi bakatnya dalam nyanyian.

photo_2025-01-01_21-47-46

Damia (kanan) ketika menjuarai pertandingan nyanyian peringkat kebangsaan baru-baru ini.

Turut merancang untuk mencuba platform nyanyian komersial rancangan realiti televisyen satu hari nanti, namun fokus utamanya ketika ini adalah pelajaran yang menurutnya amat penting melebihi segalanya.

"Insya-ALLAH lepas ni ada rancang nak cuba platform program realiti ke, nak ikut kelas vokal yang lebih lengkap.

"Selain rentak irama Melayu, saya boleh nyanyi lagu balada juga, cuma mungkin pendedahan belum ada buat masa sekarang saya fokus satu per satu dulu.

"Akan datang kita tak tahu, tapi saya nak sambung pengajian bidang muzik, jadi pensyarah muzik kalau ada rezeki," tambahnya.

Menganggap bakatnya diwarisi turun-temurun dari keluarga ibunya, sejak kecil Damia sudah didedahkan dengan muzik irama Melayu dan kerap meluangkan masa berkaraoke bersama di kala waktu lapang.

Sehingga kini, ibunya, Siti Nor Abidah Zainuddin, 38, merupakan tulang belakang kepada perjalanan muziknya selain turut memasang impian untuk berduet bersama di pentas persembahan kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram