Nekad tinggalkan Kemboja, anak jati Rawang sanggup ke Sabak Bernam pagi-pagi buta demi pastikan stok kelapa 'tak putus'


  • Bizz
  • Isnin, 30 Dis 2024

Appa Rao gigih meneruskan perniagaan kelapa yang pada awalnya diusahakan oleh bapanya.

TIDAK ramai yang sanggup meninggalkan pekerjaan lumayan demi keluarga, namun itulah yang dilakukan oleh Appa Rao.

Lelaki berusia 45 tahun itu memilih untuk berkorban demi memastikan perniagaan kelapa milik bapanya, Subramaniam terus berkembang maju di sekitar Kuala Lumpur.

Pada awalnya, Appa bekerja di Kemboja selama dua tahun dalam bidang operasi dan servis dandang.

"Saya dulu tinggal di Malaysia tetapi kena berulang-alik ke Kemboja disebabkan urusan kerja," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: [VIDEO] Chef Sakura rangkul pingat emas di pertandingan memasak Jepun, martabat hidangan tradisional Malaysia di mata dunia

BACA LAGI: Berkat dorongan ibu bapa, anak sindrom Down tonjol potensi luar biasa bercucuk tanam, kraf dan main piano

photo_6226362322226626550_y

Appa Rao gigih mengopek kelapa untuk menjualnya.

Namun, Appa berkata, segalanya berubah apabila Subramaniam terjatuh di pasar hinggakan disahkan patah kaki.

“Waktu itu, saya beritahu ayah supaya berehat dan biarkan saya yang meneruskan perniagaan sayur-sayuran miliknya,” kata Appa.

Selepas Appa mengambil alih perniagaan sayur-sayuran, Subramaniam yang sudah terbiasa berniaga mula mengusahakan penanaman kelapa mataq di kebun belakang rumah.

Selama lebih 12 tahun, Subramaniam aktif menjual kelapa mataq namun kesihatannya mula merosot.

"Secara tiba-tiba hempedu ayah saya ada masalah hingga perlukan pembedahan," kata Appa.

Di saat itulah, anak jati Rawang itu memutuskan untuk mengambil alih pula perniagaan kelapa ayahnya yang semakin mendapat permintaan ramai.

Dengan usaha keras, perniagaan itu kini semakin berkembang pesat sehingga mampu menjual 15,000 hingga 20,000 biji kelapa sebulan.

Walaupun perniagaan kelapa mataq itu menguntungkan, masih terdapat cabaran di sebaliknya.

photo_6307566212330144941_x

Antara kelapa mataq yang dikopek daripada kebun belakang rumahnya.

Menurut Appa, musim kemarau adalah antara cabaran terbesar kerana bekalan kelapa menjadi terhad.

“Bila musim kemarau, kelapa memang susah nak dapat. Lebih kurang satu minggu boleh jual 4,000 biji kelapa.

"Apabila tiada musim kemarau boleh terjual seminggu 6,000 biji. Saya terpaksa cari bekalan di merata tempat tanpa mengira waktu," katanya.

Tidak hanya itu, dua minggu sekali, Appa akan bergerak dari Rawang ke Sabak Bernam, Selangor untuk mencari stok kelapa yang akan dijualnya.

“Saya juga berbincang dengan pemilik kebun atau rumah yang memiliki pokok kelapa untuk mengambil stok kelapa. Pukul 1 pagi biasanya saya bertolak dari Rawang ke Sabak Bernam," tambahnya.

photo_6307566212330144935_x

Appa Rao gembira berada di samping keluarga tercintanya.

Meskipun pekerjaan sebelumnya menawarkan pendapatan yang lebih tinggi, Appa tidak pernah menyesal dengan keputusannya.

Bagi bapa kepada empat orang anak itu, berada di samping keluarga adalah kebahagiaan terbesar yang dirasai buat masa sekarang.

“Saya gembira dengan kerja yang saya lakukan sekarang kerana saya dapat bersama ayah, isteri dan anak-anak setiap hari,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram