MAKLUMAT dan peraturan lebih baik adalah penting untuk melindungi pengguna daripada kemungkinan bahaya kit ujian diiklankan terus kepada pengguna, kata pakar menerusi laporan The BMJ Today.
Emma Gram daripada Universiti Copenhagen dan rakan sejawatannya memberi amaran bahawa pengguna berisiko membeli produk yang mendatangkan kemudaratan.
Beliau menyatakan bahawa orang ramai memerlukan maklumat berkualiti tinggi dan komunikasi berkesan untuk melindungi pengguna daripada pemasaran tidak seimbang dan mengelirukan.
Kemajuan dalam teknologi diagnostik dan kesihatan digital telah meningkatkan kepelbagaian dan jumlah ujian terus kepada pengguna (DTC), bermula daripada kit ujian kendiri dan ujian pengesanan multikanser kepada ujian testosteron serta ujian kepekaan makanan.
Di Amerika Syarikat (AS) sahaja, jualan ujian terbabit melonjak daripada AS$15 juta (RM66.5 juta) pada 2010 kepada AS$1.15 bilion (RM5.1 bilion) pada 2022.
Bagaimanapun, tiada rangka kerja kawal selia khusus wujud untuk mengawal penggunaan yang sesuai bagi produk terbabit.
Sebagai contoh, alat menunjukkan ketepatan ujian yang lemah untuk menilai menopaus atau peluang hamil mungkin memberikan maklumat yang salah atau mengelirukan kepada wanita tentang kesuburan atau gejala dihadapi mereka.
Kumpulan pakar berkenaan menjelaskan bahawa, walaupun ketersediaan kit ujian kendiri mungkin menggalakkan komuniti kurang diuji seperti golongan berisiko mendapat jangkitan seksual mendapatkan ujian akses lebih baik, mereka menyatakan ujian kurang tepat mungkin tidak mencukupi untuk mencegah jangkitan.
Bahkan, sebarang keputusan positif palsu boleh menyebabkan perundingan susulan dan ujian lanjut yang tidak diperlukan.
Sementara itu, keputusan negatif palsu pula akan memberikan jaminan tidak betul sekali gus menangguhkan rawatan sewajarnya.
Pada masa sama, kumpulan pakar terbabit turut memberi amaran bahawa maklumat diberikan dalam arahan, pembungkusan dan pengiklanan kadangkala tidak lengkap, mengelirukan, atau tidak tepat, sekali gus memberikan pengguna panduan salah untuk membuat keputusan tentang kesihatan mereka.
Bagi menangani kemungkinan bahaya terhadap pengguna, organisasi profesional meminta kit ujian menunjukkan tafsiran dan keputusan jelas. — Agensi
Ujian klinikal yang dipasarkan untuk menilai kesejahteraan seperti tahap hormon juga mungkin membawa kemudaratan penting, ujar mereka.
Keputusan diperoleh boleh mencetuskan ujian berlebihan, kesulitan yang dikaitkan dengan keputusan abnormal yang tidak penting secara klinikal, atau membawa kepada penggunaan suplemen dan rawatan tambahan yang sekali gus boleh membawa risiko kesihatan ketara seperti masalah kesuburan dan kardiovaskular.
Pemasaran ujian berkenaan juga menyasarkan orang yang sihat, iaitu kumpulan paling tidak mendapat manfaat daripada ujian tersebut.
Potensi bahaya ujian pengesanan multikanser juga boleh menjadi besar, tambah mereka.
Ujian itu, yang kini dipasarkan dan dijual di AS, mendakwa dapat mengesan lebih 50 jenis kanser sebelum gejala berlaku.
Tetapi Emma dan rakan sejawatannya berpendapat bahawa mereka lebih berkemungkinan untuk mengesan kanser di peringkat sudah lewat, menyebabkan kemudaratan ketara tanpa sebarang faedah.
Mereka mengakui bahawa ujian DTC mungkin bermanfaat dalam beberapa kes, tetapi mengatakan kajian masih belum menunjukkan bahawa penggunaannya membawa kepada hasil kesihatan lebih baik.
Bagi menangani kemungkinan bahaya terhadap pengguna, organisasi profesional meminta kit ujian untuk menunjukkan tafsiran dan keputusan jelas.
Pesakit juga mempunyai maklumat tepat tentang bila ujian kendiri disyorkan dan bila tidak.
Bagaimanapun, tanpa arahan dasar rasmi dan peraturan pembekal komersial yang beroperasi di luar sistem penjagaan kesihatan, usaha terhadap perubahan terbabit dijangka memakan masa.
"Jelas sekali, rangka kerja kawal selia semasa tidak mencukupi dalam bertindak balas terhadap cara baharu ujian DTC dijual dan digunakan.
"Pembekal komersial harus membuktikan manfaat produk untuk pengguna mereka, termasuk mentakrifkan dengan jelas populasi sasaran ujian yang sesuai untuk mengelakkan salah tafsir yang berbahaya.
"Selain itu, industri dan badan kawal selia harus terlibat dalam konsep bahaya yang lebih luas seperti beban kewangan, bahaya psikologi dan fizikal, diagnosis berlebihan serta diagnosis tidak berkesan yang dikaitkan dengan ujian DTC," ujar laporan terbabit.
Sehubungan itu, mereka berkata, lebih banyak penyelidikan tentang perspektif dan nilai pengguna dalam ujian kendiri perlu dilakukan untuk meningkatkan amalan, faedah dan keselamatan berpusatkan pengguna. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram