
SEORANG pempengaruh media sosial berjaya mencuri perhatian ramai dengan semangatnya mengekalkan identiti budaya asal walaupun menetap jauh di perantauan.
Keunikan lelaki itu, Rawi Chatek yang tidak pernah melupakan loghat negeri asalnya, Terengganu mendapat pujian ramai di media sosial.
Walaupun kini menetap di Sweden, Rawi Chatek tetap setia menggunakan loghat Terengganu bersama anaknya yang popular dengan panggilan Adik Mat dalam setiap video yang dikongsi.
"Ayah Adik Mat (Rawi Chatek) orang Pulau Perhentian, Terengganu, ibu Adik Mat orang Sweden. Jadinya dia kena pandai bahasa Melayu," kata Rawi.
Hal itu bukan sahaja mencerminkan kecintaannya terhadap budaya negeri kelahiran, malah menjadi sumber inspirasi kepada rakyat Malaysia terutamanya mereka yang berasal dari Pantai Timur.
Keunikan loghat yang dipertahankannya menimbulkan rasa bangga dalam kalangan warganet yang melihatnya sebagai lambang kekuatan identiti dan kecintaan terhadap tanah air.
Dalam satu perkongsiannya pada Sabtu lalu, Rawi meluahkan rasa terharu apabila salah satu videonya, yang menampilkan Adik Mat bersekolah di Sweden mencapai satu juta tontonan.
Menjengah ke ruangan komen, rata pengguna beranggapan Adik Mat, yang sering muncul dalam video bersama Rawi menarik perhatian ramai kerana kefasihannya berbahasa Melayu meskipun dibesarkan di luar negara.
Seorang pengguna media sosial, Salmiah Ismail menyatakan bahawa dia adalah salah seorang peminat setia video Rawi kerana kagum melihat usaha beliau mengekalkan loghat Terengganu.
“Kita pun suka tengok Adik Mat berbahasa Melayu. Tak puas kalau sehari tak tengok. Serupa macam cucu kesayangan saya,” ujarnya dengan penuh bangga.
Selain itu, komen-komen positif turut membanjiri ruangan komen di media sosial Rawi.
Salah seorang pengikutnya, Izwani Ismail juga menyatakan bahawa dia suka melihat celoteh antara Rawi dan Adik Mat yang sering menceriakan hari.
"Suka tengok celoteh ayah dengan Adik Mat. Rasa macam tengok drama keluarga yang penuh kasih sayang," katanya.
Seorang lagi pengguna, Itsmemummybee, turut menyatakan rasa kagum terhadap Adik Mat.
"Muka macam Mat Salih tapi cakap Terengganu. Comelnya Adik Mat,” ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram