MAKANAN segera seperti keropok kentang, ais krim, dan hidangan sedia untuk dimakan telah lama dikaitkan dengan pelbagai masalah kesihatan termasuk kanser, penyakit jantung, dan diabetes.
Kajian terkini oleh Universiti Kesihatan Florida Selatan (USF) dan Institut Kanser Hospital Besar Tampa (TGH) di Amerika Syarikat mendedahkan makanan segera itu mungkin menyumbang kepada pertumbuhan tumor kanser usus.
Dalam kajian tersebut, para saintis menganalisis 81 sampel tumor kanser usus dan tisu di sekelilingnya.
BACA LAGI: [VIDEO] Keputusan DNA sahkan mayat reput Nurul Asikin, jenazah dikebumi pada Jumaat
Hasil analisis mendapati tumor tersebut mengandungi jumlah lipid yang tinggi, iaitu sebatian lemak mikroskopik yang dihasilkan apabila enzim memecahkan makanan.
Makanan segera seperti keropok kentang, ais krim, dan hidangan sedia untuk dimakan boleh meningkatkan risiko kanser usus. — Gambar Hiasan/Agensi
Lipid itu lebih cenderung menyebabkan keradangan daripada membantu penyembuhan tumor.
Kajian turut menunjukkan bahawa jumlah lipid tersebut jauh melebihi lipid sihat yang biasanya diperoleh daripada makanan tidak diproses yang kaya dengan asid lemak omega-3, seperti avokado dan minyak zaitun.
Ketidakseimbangan tersebut turut mendorong keradangan kronik pada tumor dan menyumbang kepada pertumbuhan kanser.
Melalui kajian itu juga mencadangkan potensi rawatan baharu untuk tumor kolorektal menggunakan produk semula jadi kaya asid lemak omega-3 sebagai pengganti ubat sintetik.
Pendekatan itu dikenali sebagai 'perubatan resolusi' yang menggalakkan fasa penyembuhan selepas keradangan, seperti pembersihan jangkitan dan pertumbuhan semula tisu.
Menurut pakar bedah onkologi dan profesor di USF serta TGH Cancer Institute, Dr Timothy Yeatman, kanser boleh diibaratkan sebagai luka kronik yang tidak sembuh.
"Sekiranya tubuh bergantung kepada makanan yang diproses setiap hari, keupayaan untuk menyembuhkan luka tersebut berkurangan akibat keradangan dan kelemahan sistem imun yang akhirnya membolehkan kanser berkembang," katanya.
Kajian itu dibiayai geran bernilai USD$3.1 juta (RM13.7 juta) daripada National Institutes of Health untuk penyelidikan lanjut.
Kajian tersebut akan diterbitkan dalam Gut, sebuah jurnal antarabangsa dalam bidang gastroenterologi dan hepatologi.
Jelas Yeatman, penemuan itu akan mengukuhkan lagi seruan untuk mengurangkan pengambilan makanan proses yang kaya gula, lemak tepu, bahan kimia, dan minyak bijian seperti kanola.
Namun, beliau mengakui peralihan tersebut tidak mudah kerana hampir setiap produk makanan mengandungi bahan seperti minyak kacang soya, gula, atau pengganti gula seperti sirap jagung tinggi fruktosa.
“Masalah di Amerika Syarikat ialah kebanyakan makanan telah tercemar dengan minyak bijian dan gula yang buruk ini,” jelas beliau.
Sampel tumor yang digunakan dalam kajian berkenaan diperoleh daripada pesakit di TGH.
Sampel tersebut dibekukan dalam tempoh 30 minit selepas pembedahan dan dipindahkan ke Biobank USF dan TGH untuk dianalisis menggunakan spektrometri.
Prof Madya Ganesh Halade menekankan bahawa diet hanyalah salah satu komponen kesihatan tubuh, di mana tidur yang mencukupi dan senaman turut memainkan peranan penting.
Sementara itu, menurut Profesor Madya Ganesh Halade, analisis mendapati kandungan asid lemak dalam plasma tisu di sekeliling tumor berbeza daripada kandungan lipid dalam tumor itu sendiri.
Beliau turut menekankan bahawa diet hanyalah salah satu komponen kesihatan tubuh dengan tidur yang mencukupi dan senaman turut memainkan peranan penting.
Fasa penyelidikan seterusnya akan menilai sejauh mana diet yang lebih sihat, khususnya makanan kaya asid lemak omega-3, boleh mempercepatkan pemulihan dan mengurangkan keradangan.
"Jika kita dapat mengawal sel imun, ia boleh mengehadkan pertumbuhan tumor," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram