SEORANG wanita berselisih maut apabila dia hanya mengalami patah kaki selepas dilanggar sebuah kereta api di Taiwan pada Sabtu lalu.
Kejadian yang berlaku di Alishan Forest Railway di Chiayi itu juga turut menimbulkan 1,001 satu persoalan dalam kalangan warga maya.
Manakan tidak, melalui video insiden yang mula tular sejak Isnin itu memaparkan wanita tersebut dilihat mengabaikan keselamatan dirinya demi sekeping gambar.
Memetik laporan berita antarabangsa, ketika kejadian mangsa sedang mengambil swafoto (selfie) dengan sebuah kereta api yang sedang bergerak sebelum dilanggar.
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Lui cuba merakam gambar dirinya dengan berlatar belakangkan kereta api tersebut ketika mengunjungi tempat berkenaan.
A tourist trespassing onto the tracks of Alishan Forest Railway in southern Taiwan was struck by a train, sustaining minor injuries and delaying 62 passengers by about an hour. She faces fines for violating railway safety laws. pic.twitter.com/b7lDUlZSmW
— TaiwanPlus News (@taiwanplusnews) December 16, 2024
Dia bergerak untuk mendapatkan sudut yang sesuai tetapi dilihat berdiri terlalu dekat dengan landasan.
Walaupun pemandu kereta api membunyikan hon dengan kuat untuk memberi amaran kepada pelancong itu, namun mangsa terus fokus kepada swafotonya.
Bahagian hadapan kereta api itu kemudiannya terkena bahu Lui, menyebabkan dia jatuh tersungkur ke tanah.
Pengendali kereta api segera memberhentikan kereta api untuk memeriksa keadaan mangsa itu.
Media tempatan melaporkan bahawa Lui mengalami kecederaan di kaki kiri dipercayai patah akibat impak daripada perlanggaran tersebut.
Seorang rakan segera membantu Lui selepas kejadian itu, dan dia dilihat terbaring di tanah dengan kepalanya direhatkan di pangkuan rakan tersebut.
Kejadian itu menyebabkan kelewatan selama 60 minit sekali gus menjejaskan sekitar 62 penumpang dan lima perjalanan.
Siasatan polis mendapati kumpulan tersebut telah melanggar peraturan dengan memasuki kawasan landasan.
Selain itu, pihak berkuasa telah meminta Agensi Perhutanan dan Pemuliharaan Alam Semula Jadi untuk melarang agensi pelancongan Lui, Dream Travel, daripada memasuki kawasan Alishan melalui Laluan Mianyue selama setahun.
Lui juga bakal dikenakan denda antara 307 USD (RM1,366) hingga 1,538 USD (RM6,800). — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram