
NAMA Malaysia bergema di pentas antarabangsa apabila pelakon popular, Susan Lankester, 62, menjulang trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi Kreatif Asia 2024 di Singapura pada Rabu.
Pelakon berpengalaman tempatan itu mengatasi pesaingnya dari New Zealand, Robyn Malcolm dengan kelebihan tipis 0.08 mata untuk meraih gelaran tersebut menerusi filem Rain Town arahan Tunku Mona Riza.
Susan mengucapkan terima kasih tidak terhingga atas penganugerahan tersebut kerana memberi peluang buatnya untuk menyinar di pentas global.
BACA LAGI: 'This is ours Malaysia', pelakon Siti Saleha ranggul anugerah Bintang Asia Terbaik di Seoul
BACA LAGI: Umum konsert solo pertama Januari 2025, Ernie Zakri bagi 'hint' kongsi pentas bersama naib juara AJL
Merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelakon dan kru produksi Rain Town, Susan meluahkan rasa syukur kerana diberikan kepercayaan untuk membawa peranan utama dalam karya arahan Tunku Mona Riza.
Dalam pada itu, pelakon tersebut turut mendedikasikan anugerahnya buat semua insan bergelar ibu yang sedang berjuang melawan kanser dan menjaga keluarga di luar sana.
"Kepada semua wanita yang melawan kanser dan sedang berusaha melawannya, kemenangan ini untuk anda juga," katanya.
Susan turut memberi penghormatan kepada keluarganya atas sokongan yang tidak berbelah bahagi selain menujukan kemenangan itu khas buat arwah ibunya.
"Dia Aileen. Saya mencipta Aileen kerana dia, dan saya berharap dia ada di sini.
"Saya membaca di suatu tempat bahawa terdapat empat perkara dalam hidup yang akan membebankan anda sepenuhnya. Ia adalah muzik, seni, cinta dan kehilangan.
"Tiga yang pertama akan membuatkan anda kuat dan bersemangat, tetapi yang keempat akan membuatkan anda terus hidup," katanya.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama Susan memenangi trofi dalam anugerah berprestij sedemikian.
Sebelum ini, Susan pernah merangkul trofi Pelakon Komedi Wanita Terbaik pada anugerah sama tiga tahun lepas menerusi drama Keluarga Baha Don. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram