PASANGAN pelakon, Diana Danielle dan Farid Kamil tiba di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Rabu bagi sebutan pertama permohonan rujuk dan penceraian.
Diana yang tiba di mahkamah kira-kira pukul 9.20 pagi dilihat mengenakan jubah serba hitam dengan ditemani peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Apabila ditanya mengenai harapan, Diana tidak melontarkan sebarang kata-kata malah sempat berseloroh dia hanya ingin menikmati nasi lemak.
BACA LAGI: Diana Danielle bagi notis keluar rumah, 'ketawa besar' dengar janji Farid Kamil
“Saya nak makan nasi lemak. Semoga dipermudahkan. Amin... Aminnnn,” katanya sambil menuju ke lif.
Selang kira-kira 10 minit, Farid Kamil pula melangkah bersama peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan ke mahkamah berkenaan.
Farid dilihat memakai baju Melayu teluk belanga berwarna putih dan songkok yang dililit reben putih seakan-akan membawa maksud sedang berkabung.
“Saya harap semoga semua mendoakan yang baik-baik,” katanya.
Sebelum ini, pasangan sama cantik sama padan itu memilih untuk kembali rujuk pada 31 Ogos 2023.
Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012.
Hasil daripada perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora yang kini berusia 9 tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram