[VIDEO] Raja dan Ratu Sepanyol kena lempar telur dan lumpur, tebal muka hadap mangsa banjir


  • Benua
  • Isnin, 04 Nov 2024

Raja Sepanyol Felipe VI (tengah) melawat mangsa banjir Sepanyol yang berang ekoran kelewatan menerima bantuan. — AP/DAVID MELERO

RATUSAN penduduk di sebuah kawasan di Valencia yang terjejas teruk akibat banjir hingga meragut ratusan nyawa minggu lalu mengadakan protes semasa lawatan Raja Sepanyol Felipe VI, Ratu Letizia dan Perdana Menteri, Pedro Sanchez apabila mereka bertindak melontar lumpur dan telur.

Mereka membuat 'tunjuk perasaan' itu dengan melaungkan, "Pembunuh, pembunuh!" pada Ahad.

Tindakan itu mencerminkan kemarahan penduduk yang memuncak berikutan dakwaan kelewatan bantuan dalam insiden yang meragut lebih 200 nyawa yang terkorban.

BACA LAGI: [VIDEO] Tak perasan diam-diam duduk belakang meja makan, ahli kongsi gelap maut ditembak gengster Turkiye depan mata kekasih

BACA LAGI: [VIDEO] Demi gembirakan gelandangan, lelaki bawa lari semangkuk gula-gula depan tuan rumah

Mereka meluahkan kemarahan kerana menganggap kerajaan lewat memberi bantuan walaupun pihak berkuasa memberi amaran tentang bahaya banjir yang berlaku pada Selasa lalu.

Kemarahan itu juga diburukkan lagi respons lambat daripada pasukan penyelamat semasa bencana alam terburuk di Sepanyol itu.

“Bantulah kami, yang sudah meninggal (mayat) masih ada di garaj, keluarga sedang mencari saudara dan rakan mereka.

"Kami hanya minta bantuan dan diselamatkan,” jerit seorang penduduk, Nuria Chisber, menurut laporan media antarabangsa.

Dalam lawatan tersebut, Raja Sepanyol yang dilihat memakai pakaian hujan sedang menenangkan seorang lelaki yang berduka dan menangis ekoran bencana itu.

Rakaman di media sosial menunjukkan isterinya, Ratu Letizia, menangis sambil memeluk beberapa penduduk.

Dapat dilihat menerusi video yang tular itu, wajah dan rambut Raja Sepanyol kotor dengan lumpur dan salah seorang pengawal peribadinya cedera dan luka di wajah akibat dibaling objek.

Bagaimanapun, pengawal peribadinya bertindak membuka payung untuk melindungi keluarga diraja.

Penyiar kebangsaan Sepanyol, RTVE melaporkan bahawa antara objek yang dibaling kepada keluarga diraja itu termasuk beberapa batu dan objek keras lain dengan dua pengawal peribadi mereka dirawat kerana kecederaan.

Rangkaian media itu menyatakan bahawa raja dan pegawai terpaksa membatalkan lawatan ke kampung kedua yang terjejas di Chiva, terletak kira-kira setengah jam ke Timur bandar Valencia.

Jumlah kematian akibat banjir terburuk dalam sejarah moden negara itu meningkat kepada 217 pada Ahad meliputi hampir semuanya berlaku di wilayah Valencia dengan lebih 60 daripadanya di Paiporta sahaja. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram