PENYANYI popular Amir Masdi, 28, semakin melebarkan sayapnya dalam industri hiburan tempatan ekoran pelancaran album terbaharunya berjudul AM:PM baru-baru ini.
Mula menempa nama sejak menjuarai rancangan realiti Akademi Fantasia pada 2016, Amir atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi cukup sinonim dengan imej berambut panjang dan suara serak basah yang cukup diminati ramai.
Namun, di sebalik wajah 'jambu' dimiliki anak jati Selangor itu, sebilangan peminatnya mula memasang harapan untuk melihat Amir terjun ke dunia lakonan.
BACA LAGI: [VIDEO] Guru vokal berbangsa India minat gila TokTi, dilabel pengganti Jaclyn Victor
BACA LAGI: Shuib tambah duit nafkah, Watie kongsi suami dalam diam ambil iktibar kes Fattzura
Meskipun pernah membuat kemunculan di kaca televisyen menerusi drama siri Asrama (2020), peminat nyata teruja untuk menyaksikan artis kesayangan mereka itu kembali mewarnai dunia lakonan tanah air.
Amir Masdi tampil sebagai seorang pelakon menerusi drama Asrama.
Pun begitu, Amir menjelaskan dirinya kini agak sibuk dengan karier nyanyian dan terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon atas faktor kesibukan masa.
"Tawaran berlakon saya tak tolak terus tapi buat masa sekarang ni saya tak dapat nak buat sebab sibuk mempromosikan album baharu dalam karier nyanyian.
"Jadual agak padat mungkin tahun depan kalau dah selesai semuanya insya-ALLAH saya akan pertimbangkan untuk berlakon filem ke mana tahu.
"Buat masa sekarang belum lagi sebab saya fokus nyanyian dulu," katanya kepada Majoriti.
Ketika disoal sanggup atau tidak memotong rambut demi komitmen lakonan, Amir berkata, dia mempunyai syarat ketat untuk tidak menjejaskan penampilannya ketika ini.
"Buat masa sekarang jangan usik rambut dulu, saya memang nak kena simpan rambut untuk karier nyanyian.
"Mungkin satu hari nanti saya pun tak tahu bila, saya akan potong rambut untuk lakonan, itu pun bergantung pada watak," jelasnya.
Terdahulu, Amir tercalon dalam senarai Top 5 Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 baru-baru ini.
Namun, pelantun lagu Puas itu gagal menjulang trofi berprestij tersebut apabila ditewaskan penyanyi Khai Bahar yang berjaya menerima kutipan undian tertinggi bagi pencalonan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram