Penakut sejak kecil, Yasmin Napper trauma terdengar bisikan ‘cut’ di set penggambaran Taghut


  • Hiburan
  • Ahad, 22 Sep 2024

Yasmin Napper merupakan pelakon meningkat naik di Indonesia.

PELAKON cantik manis Indonesia, Yasmin Napper, 20, pernah trauma dihantui perkara mistik ketika di set penggambaran filem Taghut sekitar bulan lalu.

Mendedahkan dirinya merupakan seorang penakut dan kurang gemar menonton filem seram sejak kecil, Yasmin menganggap pengalaman itu sebagai perkara tidak boleh dilupakan dalam hidupnya.

“Ketika di set penggambaran, saya terdengar bisikan ‘cut’ seolah-olah daripada pengarah sedangkan ia bukan.

“Babak itu terhenti dan tergendala kerana saya dan kru petugas semua terdengar bisikan itu, jadi kami semua berhenti berlakon walhal tuan pengarah tidak berkata apa-apa.

“Sebelum penggambaran bermula, persiapan seperti bacaan dan pelindung semua sudah disiapkan tetapi saya masih diganggu bisikan mistik, ia sangat menakutkan dan agak trauma untuk melakonkan watak itu,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana filem Taghut dekat Pusat Beli-Belah The Gardens, Petaling Jaya, Selangor pada Ahad.

BACA LAGI: 'Kamu yang mulakan hingga isteri dan anaknya teraniaya', ibu Syamsul Yusof harap 'dia' segera bertaubat

BACA LAGI: Asalnya lagu PLKN, sentuhan Afdlin Shauki menerusi Erti Hidup julang Dayang Nurfaizah di pentas AJL

WhatsApp Image 2024-09-22 at 19.37.01

Yasmin Napper melakonkan watak sebagai Ainun dalam filem Taghut.

Dalam pada itu, Yasmin atau nama sebenarnya, Yasmin Safira Napper, berharap agar bakat lakonannya diintai pengarah di Malaysia pada satu hari nanti.

Jelasnya, dia sememangnya teringin untuk mengembangkan bakatnya di rantau Asia Tenggara terutamanya industri filem Malaysia yang disifatkan cukup dikenali di negaranya.

“Kalau ada rezeki saya mahu berlakon di Malaysia, jika ada pengarah yang sudi atau tawarkan peluang berlakon, saya pasti akan terima.

“Sambutan filem Indonesia di sini juga amat menggalakkan, jadi tak salah kalau satu hati nanti saya mengembangkan bakat di Malaysia pula,” katanya.

Ketika ditanya soal hatinya sudah berpunya atau belum, Yasmin menjelaskan fokus utamanya ketika ini mahu kembangkan bakat seni lakonannya namun, tidak menolak jika dipertemukan jodoh di Malaysia.

Yasmin dalam pada masa sama turut mengajak orang ramai menonton filem seram lakonannya, Taghut yang bakal ditayangkan di pawagam negara pada 26 September kelak.

Melakonkan watak utama dalam filem tersebut, pelakon dan juga pempengaruh terkenal Indonesia itu berharap agar lakonannya diterima ramai penonton di Malaysia kerana ia merupakan kali pertama filemnya ditayangkan di sini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram