'Raya Aidiladha sewaktu kecil lebih meriah', Irfan Haris rindu arwah nenek


  • Hiburan
  • Sabtu, 15 Jun 2024

Irfan Haris merindui suasana hari raya Aidiladha sewaktu neneknya, Zubaidah Abdullah masih hidup.

KENANGAN terindah yang pernah dirasai sewaktu Hari Raya Aidiladha pastinya mampu menjadi ingatan yang terus mekar dalam ingatan seseorang.

Itulah yang dapat diucapkan tentang seorang penyanyi, Irfan Haris yang merindui suasana perayaan hari raya korban sewaktu neneknya, Zubaidah Abdullah masih hidup.

Kehilangan sosok tubuh neneknya yang meninggal dunia pada 2019 menimbulkan kesan besar buat dirinya terutama menjelang musim perayaaan.

BACA LAGI: 'Perpisahan lindungi daripada perkahwinan tak sihat', Fasha Sandha pesan ada pelangi lepas hujan buat Bella Astillah

BACA LAGI: Sopan di sebalik 'lu, gua', Pyanhabib penyajak penting tahu isi tulang dan luar dalam KL

photo1718340958

Irfan Haris sekeluarga akan berkumpul di Kuala Lumpur pada raya Aidiladha tahun ini.

"Lepas arwah nenek sudah meninggal vibe raya memang lain. Raya makin lama tidak meriah macam dahulu," katanya kepada Majoriti.

Menceritakan keunikan hari raya sewaktu neneknya masih hidup, adik kepada Amira Othman itu berkata, ibadah sembelihan kebiasaannya akan dibuat di rumah neneknya sambil bergotong-royong sesama ahli keluarga.

"Kalau dulu siap sewa khemah depan rumah nenek. Biasanya semua ahli keluarga akan berkumpul bersama-sama," katanya.

Meriah menyambut perayaan, anak bongsu kepada enam beradik itu turut mengimbau aktiviti yang dibuat sewaktu hari raya Aidiladha sebelum-sebelum ini.

"Adik-beradik lelaki dan juga ayah selalunya bantu untuk potong daging dan kami juga tolong ibu memasak di dapur.

"Biasanya akan tolong potong-potong bahan masakan atau pun tolong cuci-cuci pinggan," katanya.

Memiliki hubungan rapat bersama keluarga besar, Irfan mendedahkan bahawa daging sembelihan yang sudah dipotong biasanya diagihkan kepada saudara-maranya yang berada di Johor.

"Rumah saudara-mara saya yang lain jaraknya dalam 20 minit jadi akan pergi agih-agihkan kepada mereka," katanya.

Menyambut perayaan dengan berbeza pada tahun ini, penyanyi berusia 23 tahun itu berkata, raya Aidiladha yang bakal menjelang tidak lama lagi akan disambut dengan sederhana di Kuala Lumpur (KL).

"Tahun ini akan ada kelainan iaitu mungkin kami hanya akan ziarah-menziarahi rumah saudara yang berada di KL.

"Saya juga sedikit sibuk dengan kerja, jadi ahli keluarga dah berpakat untuk masing-masing berkumpul di KL pula, biasanya kumpul Johor," katanya.

Bercakap soal perkembangan semasa, Irfan Haris kini sedang membuat persiapan untuk menghasilkan lagu berduet bersama artis Indonesia, Avolia.

"Insya-ALLAH lagu akan dikeluarkan pada Ogos nanti. Dalam masa terdekat Avolia akan datang ke Malaysia untuk rakam lagu.

"Saya harap peminat boleh sokong dan doakan kejayaan lagu ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram