[VIDEO] Peminat teruja Westlife suruh 'angkat tangan' dalam Bahasa Melayu


  • Hiburan
  • Isnin, 10 Jun 2024

Westlife mengubati rindu peminat dengan melakukan konsert Westlife The Hits Tour 2024 Arena of Star, Resorts World Genting, Genting Highlands pada Ahad.

"WESTLIFE! Westlife! Westlife!," itulah jeritan yang kedengaran sewaktu peminat melihat tiga anggota kumpulan Westlife mulai beraksi di Arena of Star, Resorts World Genting, Genting Highlands, Pahang pada Ahad.

Kumpulan pop popular dari Ireland itu berjaya membuat peminat terkasima dengan persembahan memukau yang tidak dapat dilupakan.

Lebih 6,000 penonton membanjiri Arena Of Stars bagi menyaksikan konsert Westlife The Hits Tour 2024 anjuran MMIC Entertainment dengan kerjasama JS Concert itu.

BACA LAGI: Selepas 22 tahun, Westlife kembali rakam memori bersama peminat di Malaysia

BACA LAGI: 'Awak sangat cantik', CNBLUE buat gadis Malaysia 'cair'

IMG_4286

Westlife memberi persembahan penuh tenaga kepada peminat yang hadir ke Arena of Star, Resorts World Genting, Genting Highlands pada Ahad.

Tampil mendendangkan 20 lagu popular mereka, Westlife membuka tirai persembahan dengan lagu berjudul World of Our Own.

Konsert yang berlangsung hampir dua jam itu turut mengingatkan kembali peminat akan memori sewaktu kecil mereka apabila lagu nostalgia kegilaan ramai dinyanyikan seperti Nothings Gonna Change My Love For You, Flying Without Wings, Starlight, We Are The Champions, Uptown Girl, My Love, Beautiful In White, What Makes A Man dan More Than Words.

NZ9_1370

Kian Egan (kiri), Shane Filan (tengah) dan Nicky Byrne (kanan) memberi persembahan yang penuh tenaga.

Lebih menarik, ahli kumpulan Westlife, Nicky Byrne cuba berbahasa dengan menggunakan perkataan dalam Bahasa Melayu sewaktu pertengahan konsert sehingga ramai teruja mendengarnya.

"Angkat tangan... Turun," kata Nicky sewaktu berada di atas pentas.

Memberi respons kepada artis kesayangan mereka, peminat turut mengangkat tangan mereka sambil menyalakan lampu kamera masing-masing sehingga seluruh kawasan konsert dipenuhi cahaya.

NZ9_1285

Westlife sering menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah lokasi wajib pada setiap konsert jelajah mereka.

Selain itu, pentas turut bergema dengan lagu seperti I Lay My Love On You, Bop Bop Baby, Fool Again, If I Let You Go, Hello My Love, Swear It Again, Seasons In The Suns, Looking Like Than dan You Raise Me Up.

Meskipun kumpulan asal Ireland itu hanya tampil bertiga tanpa Mark Feehil susulan masalah kesihatan, namun Kian Egan, Nicky Byrne dan Shane Filan berjaya memberi pengalaman yang cukup bertenaga kepada peminat dengan untaian hits kegilaan ramai yang telah dipersembahkan.

photo1717993594

Peminat tidak berkelip mata menonton persembahan memukau yang diberikan oleh Westlife.

Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama kumpulan popular itu datang ke Malaysia memandangkan mereka juga menghiburkan peminat di Malaysia pada 1999, 2019 selain menggegarkan pentas Kuala Lumpur pada tahun lepas.

Westlife sebelum ini menerima pelbagai anugerah termasuk World Music Award, Brit Awards, MTV Awards dan menjulang empat kali dipilih menjulang trofi Record of the Year Awards bagi 1999, 2000, 2003 dan 2005. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram