Cetus tekanan jangka panjang, ketahui langkah hadapi 'burnout' semasa bekerja


  • Sihat
  • Isnin, 03 Jun 2024

Banyak cara yang boleh dibuat bagi seseorang yang mengalami tekanan melampau akibat pekerjaan.

MASALAH kesihatan yang sering berlaku dalam dunia pekerjaan adalah tekanan melampau atau lebih dikenali sebagai burnout.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini juga menyatakan bahawa isu burnout merupakan satu masalah kesihatan awam yang memudaratkan.

Ia merupakan satu keadaan apabila berlakunya keletihan yang ketara dari segi fizikal, emosi dan mental ditambah perasaan ragu tentang keupayaan diri serta nilai pekerjaan seorang individu.

BACA LAGI: 26,000 rakyat Malaysia maut akibat rokok setiap tahun — Menteri Kesihatan

BACA LAGI: Strok kerap serang golongan muda, doktor kongsi pengalaman tangani kes budak usia 5 tahun

4505477

Masalah 'burnout' sering berpunca dari tempat kerja.

Lebih mengejutkan, situasi itu mengakibatkan keletihan fizikal dan mental yang boleh mengganggu konsentrasi serta produktiviti pekerja dalam memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

Terdapat banyak langkah yang boleh dibuat seseorang apabila berasa diri mereka mengalami burnout seperti:

1. Kenal pasti tanda-tanda burnout

Seseorang yang mengalami burnout perlulah mengenal pasti perubahan sikap yang terjadi kepada diri mereka.

Antara perubahan sikap yang sering dialami adalah sukar untuk memberikan tumpuan, sering terlupa, kurang berasa bangga dengan kerja yang dilakukan, tidak lagi memiliki matlamat yang jelas dan kesukaran mengekalkan hubungan bersama rakan sekerja.

Seseorang yang sudah burnout juga akan berpotensi mengganggu fizikal sehingga mengalami masalah pada tubuh badan seperti ketegangan otot, sakit, keletihan dan juga insomnia.

2. Ambil masa untuk rehat seketika

Segelintir orang tidak memiliki masa yang tepat untuk berehat dengan betul.

Namun, mereka boleh berehat sebentar untuk melakukan regangan dan mengambil nafas yang dalam (deep breathing) semasa bekerja.

Perkara itu difahamkan sangat bermanfaat bagi membantu memberi ketenangan buat pemikiran seseorang.

Buktinya, kajian mendapati seorang pakar bedah yang mengambil microbreak secara tetap dan ringkas semasa pembedahan (dari 90 saat hingga 5 minit) dilaporkan memiliki prestasi fizikal dan mental yang lebih baik.

WhatsApp Image 2024-06-02 at 3.05.43 PM

Pengambilan pemakanan berkhasiat penting bagi membantu mood seseorang.

3. Makan makanan berkhasiat

Seseorang perlulah mengelakkan daripada mengambil pemakanan yang tinggi dengan kandungan gula.

Ini kerana, ia boleh menurunkan tahap tenaga dan mengganggu mood seseorang.

4. Beri kata-kata positif kepada diri

Gangguan emosi sering berlaku jika seseorang mengalami stres, sedih, kemurungan dan berasa tidak bermaya.

Keadaan ini akan menjejaskan cara pemikiran, perasaan, tingkah laku, malahan aktiviti harian seperti tidur, makan dan bekerja terganggu.

Pastikan anda berfikiran positif terhadap setiap situasi yang dilalui supaya dapat menenangkan fikiran dan kurangkan stres harian serta dapat keupayaan untuk mengendalikan tekanan dengan lebih baik.

220308184203-burnout-stock

Teknik relaksasi penting untuk melegakan tekanan.

5. Lakukan teknik relaksasi

Matlamat melakukan teknik relaksasi adalah untuk membantu melegakan tekanan dan memulihkan supaya badan dan minda menjadi lebih tenang.

Terdapat pelbagai jenis relaksasi yang dapat dilakukan seseorang pada bila-bila masa.

Antaranya adalah dengan melakukan teknik pernafasan iaitu dengan menarik nafas panjang dan dalam, kemudian dihembus perlahan melalui hidung atau mulut.

Perkara itu boleh dilakukan secara berulang kali sehingga anda berasa tenang dan lebih santai.

Selain daripada senaman pernafasan, anda juga boleh melakukan meditasi sebagai kaedah relaksasi untuk menghilangkan tekanan atau keresahan.

Meditasi boleh dimulakan dengan duduk di atas lantai dan melipat kaki anda atau mencuba teknik meditasi seperti 'Kundalini'.

Tutup mata anda, tenangkan diri anda, dan cuba fokus pada sesuatu, contohnya dengan membayangkan imej, memikirkan perkataan, atau mendengar nafas anda sendiri.

Satu kajian menunjukkan bahawa meditasi yang dilakukan secara kerap selama sekurang-kurangnya 5 minit setiap hari, boleh merangsang saraf di otak yang mengawal tekanan dan kebimbangan.

Tidak hanya itu, terapi muzik juga dapat membantu mengelak burnout kepada diri seseorang.

Umum mengetahui bahawa muzik merupakan satu bentuk seni yang mempunyai sifat penyembuhan.

Setiap jenis muzik secara amnya memberi kesan yang berbeza pada setiap pendengar, bergantung pada cita rasa atau jenis muzik yang mereka suka.

Seterusnya, kaedah yoga juga dapat dibuat sebagai teknik relaksasi minda.

Penyelidikan menunjukkan bahawa gabungan senaman pernafasan dan regangan otot dalam pergerakan yoga boleh meningkatkan mood anda.

6. Urus emosi dengan positif

Cari penyelesaian untuk hiburkan diri dengan membuat sesuatu perkara yang gembira.

Sebagai contoh, pergi mandi sungai, tengok wayang atau hanya dengan mendengar lagu.

663x442--mengapa-para-pekerja-kreatif-suka-minum-kopi-161027c

Berpuas hati dengan sesuatu kejayaan yang dicapai boleh mendorong seseorang melakukan dengan lebih baik.

7. Puas hati dengan apa yang diccapai

Berpuas hati dengan apa yang telah dicapai penting sebagai rangsangan untuk membuat sesuatu perkara dengan lebih baik.

8. Bercakap dengan seseorang yang dipercayai

Maklumkan kepada individu yang anda percaya atau sayangi supaya anda rasa sokongan dan tidak berseorangan.

Anda dapat melepaskan sedikit beban yang berada di dalam fikiran dengan bercerita kepada individu lain.

Libatkan rakan rapat, ahli keluarga dan pasangan anda dalam mencari solusi burnout yang sedang anda alami.

Pendapat dan pertolongan dari orang lain adalah perlu tatkala anda menghadapi fasa burnout ini.

9. Minta bantuan profesional

Dapatkan khidmat nasihat profesional sekiranya gejala burnout yang dialami menjejaskan fungsi kehidupan atau tidak mampu ditangani dengan baik.

Perkara itu penting bagi mengelak seseorang mengalami kesan negatif dalam diri dalam tempoh yang panjang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram