'Rengsek' telinga dengar lagu Alamak Raya Lagi!, ketahui cara atasi sindrom earworm


  • Sihat
  • Isnin, 01 Apr 2024

Situasi earworm sering kali terjadi kepada seseorang yang menyebabkan mereka terus mengulangi sesuatu lagu.

PASTI kadangkala kita berdepan situasi yang mana sesuatu lagu terus berputar di kepala tanpa henti.

Tanpa kita sedari, kita terikut-ikut mengulangi rentak lagu berkenaan sehingga berhari-hari lamanya.

Seperti situasi ketika ini, lirik lagu Alamak Raya Lagi dan Kita Bikin Romantis kerap berputar di minda tanpa henti.

Ada masanya situasi ini menjadikan kita berasa 'rengsek' hingga bertindak menutup atau menukar saluran radio kerana enggan lagu itu terbawa-bawa dalam fikiran.

Meskipun cuba untuk mengelak daripada mengulangi lirik lagu berkenaan tetapi terus terngiang-ngiang di kepala tanpa sebab.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, situasi itu dikenali sebagai earworm.

Earworm merupakan istilah yang digunakan bagi sindrom obsesi musik atau Stuck Song Syndrome (SSS).

BACA LAGI: Harus hukum berbuka dengan bersetubuh tapi jangan abai adab di sisi Islam — Dr Zulkifli

WhatsApp Image 2024-03-31 at 5.43.33 PM

'Earworm' bukanlah satu penyakit tetapi gangguan pemikiran.

Earworm bukanlah sesuatu penyakit atau kelainan yang ada kepada seseorang tetapi merupakan gangguan pemikiran yang tidak disengajakan atau terjadi di luar kawalan.

Menurut kajian sebuah artikel Amerika Syarikat bertajuk Musical Obsessions, fenomena earworm terjadi kepada hampir semua orang.

Sebanyak 98 peratus orang di Amerika Syarikat pernah berasa seakan-akan terngiang-ngiang pada sebuah lagu atau lebih dikenali sebagai situasi earworm.

Bagaimanakah situasi earworm boleh terjadi?

Pada awalnya, sesuatu rentak lagu boleh terlekat di kepala anda melalui rangkaian otak yang terlibat dalam persepsi, emosi, ingatan dan juga pemikiran spontan yang dimiliki.

Sebagai contoh, seseorang akan kerap teringat lagu-lagu sedih di kepala jika keadaan emosi berada dalam kesedihan.

Selain daripada keadaan emosi, earworm juga boleh berlaku apabila anda mendengar lagu semasa mengelamun, nostalgia atau dalam tekanan.

Secara tidak sedar, otak anda merakam detik ini melalui irama atau lagu yang dimainkan berulang kali.

earworm_blogheader

Kepala kerap mengulangi sesuatu rangkap lagu yang sama menunjukkan seseorang berada dalam situasi earworm.

Terdapat banyak tip mengikut saranan Public Health Malaysia untuk menghentikan earworm seperti:

1. Dengarkan keseluruhan lagu

Situasi earworm sering kali terjadi kerana seseorang hanya mendengar secara ringkas sesuatu rangkap lagu tanpa mendengarnya sehingga keseluruhan.

Menikmati keseluruhan lagu dapat menghilangkan sesetengah rangkap lagu 'terperangkap pada gelung' di kepala anda.

2. Tambah variasi lagu dalam fikiran

Sesuatu lagu yang kerap berulang dianggap penyebab gangguan kepada aktiviti otak anda daripada cacing telinga.

Selepas anda selesai mendengar sesuatu lagu hingga akhir lirik, anda juga boleh mula mendengar lagu lain yang belum pernah didengari.

Dengan mempelbagaikan jenis lagu yang didengari mampu mengelakkan seseorang terkena earworm.

BACA LAGI: Rekaan 'puzzle' cetus minat, jurutera telekomunikasi sanggup masuk lebih 80 bank buru koleksi sampul raya

2f26751f-a231-4e14-94c4-902ce123f6e0

Situasi earworm boleh dielakkan jika seseorang cuba untuk memutarkan lagu lain juga.

3. Abaikan

Cuba untuk tidak memikirkannya dan biarkan ia lenyap secara semula jadi dengan sendirinya.

4. Sibukkan Diri

Dengan menyibukkan diri, anda mungkin melupakan sesuatu rentak yang berputar di kepala.

Bagaimanapun, earworm yang terus menerus bertahan lebih daripada 24 jam di kepala seseorang mungkin disebabkan oleh pelbagai penyakit yang lebih serius.

Oleh itu, seseorang yang mengalami situasi earworm secara berulang perlulah mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.

Ini kerana, kadangkala situasi ini berlaku dengan gangguan obsesif-kompulsif, sindrom psikotik, sakit kepala migrain, sawan atau keadaan yang dikenali sebagai palinacousis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram