RATA-RATA umat Islam sedang gigih membuat persiapan menjelang Hari Raya Aildilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.
Antara persiapan yang sudah menjadi kelaziman dan budaya masyarakat Islam di Malaysia adalah dengan memberi duit raya kepada sanak saudara dan kanak-kanak.
Namun, dalam keghairahan kita beraya, satu perkara yang perlu diambil serius adalah berkenaan isu penukaran duit raya supaya tidak terjerumus dalam kancah riba.
Ini kerana, terdapat sebahagian individu menggunakan peluang tersebut sebagai taktik menambah pendapatan tanpa mungkin menyedari kaedah itu boleh menjurus ke arah riba.
BACA LAGI: Penceramah bebas tolak tradisi beduk sahur, mufti tegaskan tak lawan hukum syarak
Penukaran wang digalakkan dibuat di bank.
Bercakap soal itu, pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus melalui ceramahnya di YouTube menegaskan bahawa hukum mengenakan upah bagi penukaran duit adalah haram.
"Tukar duit ambil upah RM2 tidak boleh, haram.
"Sebagai contoh hulur RM100 tetapi dapat semula RM97 sahaja sebab upah RM3 jadi dosa besar," katanya mengulas mengenai hukum mengambil upah menukar duit.
BACA LAGI: Buat untung atas angin, senang-senang upah melampau caj tukar duit raya RM10 setiap RM100
Ustaz Azhar Idrus berharap umat Islam merujuk pendakwah bagi mengelak perbuatan berunsur riba terus berlaku dalam kalangan umat Islam.
Azhar Idrus berkata, begitu juga hukumnya ketika menukar duit syiling jenis jual di kedai makanan, kedai runcit dan sebagainya.
"Contoh dia nak duit syiling sekurang-kurangnya RM100 sehari, jadi tukang tukar duit syiling itu beritahu kalau nak tukar syiling RM103, dapat balik RM97 kerana RM3 jadi upah.
"Maksudnya beri RM100 dalam bentuk duit kertas dan tukar syiling bentuk 20 sen (RM97) sahaja, maka jadi haram kerana makan riba," katanya.
Sementara itu, Penasihat Syariah Institusi Kewangan Islam, Ustaz Lokmanulhakim Hussain berkata, disebabkan tukar duit raya melibatkan item ribawi iaitu wang kertas dan melibatkan dua item yang sama iaitu ringgit ditukar dengan ringgit, maka proses tersebut perlu menepati dua syarat:
1. Penyerahan duit terpakai dengan duit baharu berlaku dalam satu sesi/majlis tanpa penangguhan. Jika ada penangguhan maka berlaku riba nasa’.
2. Pertukaran hendaklah dengan kadar yang sama, tanpa ada lebihan. Jika ada lebihan maka berlaku riba fadhl.
Orang Islam diingatkan sentiasa mendengar ceramah agama dan merujuk pendakwah bertauliah bagi mengelak perbuatan berunsur riba terus berlaku dalam kehidupan seharian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram