MENGHIDUPKAN bulan suci dengan alunan ayat-ayat suci al-Quran, Ribath Fatimah Az-Zahra dan NGO pembangunan belia YOSH MyFundAction menganjurkan Program Taman Tadarus Ramadan yang turut bertujuan melakar sejarah dalam The World Book of Record dengan rekod bacaan terpanjang di dunia.
Program itu dibuat atas usaha bersama Erma Fatimah yang juga Pengerusi Ribath Fatimah Az-Zahra, dengan para peserta bertadarus tanpa henti selama 24 jam sejak 12 Mac lalu sehingga 9 April.
Sejumlah besar anak muda dikenali sebagai sukarelawan aktif, YOSH, Ribath Fatimah dan Kelab Generasi Ghuraba’ berjaya menghabiskan 30 juzuk setiap hari hasil daripada penglibatan berterusan selama 24 jam sejak 7 hari lalu.
Program yang bermanfaat untuk setiap peserta itu mampu membolehkan seseorang memperbaiki diri dan membina ukhuwah sesama Muslim agar dapat merasai makna bulan Ramadan yang sebenar.
BACA LAGI: Elak risiko tertuduh larikan diri, mahkamah tolak permohonan isteri Tun Daim tuntut semula passport
Peserta yang juga Pengerusi kelab Generasi Ghuraba’, Norazimah berkata, program itu memberi kesempatan untuk tumbuh dan berkembang sebagai sebahagian daripada masyarakat Muslim yang besar.
Para peserta bukan sahaja menahan rasa lapar dan dahaga, malah memenuhi keperluan rohani mereka dengan meningkatkan amal ibadah dan memperbaiki hubungan dengan Sang Pencipta.
Semangat kesatuan dan kecintaan mereka terhadap kalam ALLAH ini menjadi pendorong untuk mereka tanpa putus melantunkan ayat-ayat Quran.
YOSH MyFundAction berharap agar beramai-ramai individu menyokong usaha mereka untuk menjadikan bulan suci ini sebagai waktu terbaik bagi mencapai lebih banyak kejayaan.
YOSH MyFundAction turut mengalu-alukan sokongan dan kesudian mana-mana individu, universiti, pusat tahfiz, sekolah atau syarikat untuk berkolaborasi dan bekerjasama bagi menjayakan Program Taman Tadarus Ramadan ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram