UMAT Islam pastinya ingin mengejar peluang istimewa di bulan Ramadan dengan menunaikan solat tarawih secara berjemaah di masjid.
Perkara itu bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan silaturrahim, malah memiliki ganjaran pahala yang besar di sudut agama Islam.
Segelintir orang sanggup meluangkan masanya untuk berjemaah di masjid meskipun selepas seharian suntuk bekerja di pejabat.
Meskipun begitu, timbul pula perasaan kurang senang dalam kalangan jemaah selepas pengurusan di salah sebuah surau yang terletak di Selangor dilihat sama sekali tidak menitik beratkan soal keadaan jemaah.
Dalam satu hantaran di laman X, seorang pengguna, @inchefaris meluahkan rasa kesal kerana tazkirah disampaikan dalam masa yang terlalu lama di pertengahan solat tarawih.
"Surau berdekatan rumah saya tadi buat tazkirah setengah jam selepas empat rakaat tarawih, bagi saya kurang bersesuaian.
"Penceramah pula siap perli orang yang tidak menunggu sehingga akhir, aduhai berlaku rahmahlah (belas kasihan).
"Sekarang minggu kerja dan anak-anak juga bersekolahan," tulisnya.
BACA LAGI: Bentuk kuku tiba-tiba melengkung, ketahui bahaya 'nail clubbing' jika tidak dirawat
Solat tarawih merupakan ibadah istimewa semasa bulan Ramadan.
Posting tersebut mendapat sokongan ramai warganet yang turut memahami perkara itu.
"Tempat saya, lepas solat isyak ceramai 45 minit dan tarawih 20 rakaat. Penceramah siap perli ramai turun solat tarawih sahaja Isyak tak turun. Padahal orang penat kerja,, fikir pergi surau nak solat Isyak, tarawih dan balik," tulis floweryu.
Mengulas soal itu, Mufti Negeri Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, ibadat sunat tarawih yang dijalankan di surau atau masjid perlulah mengikut kesesuaian dan tidak sampai membebankan jemaah yang datang.
"Kena tengok kesesuaian, ada orang yang dia nak cepat kerana ada urusan lain selepas itu ataupun komitmen tersendiri," katanya kepada Majoriti.
Pengurusan solat tarawih di masjid perlulah lebih menyenangkan.
Mohamad Sabri turut mengulas mengenai tempoh yang terbaik tazkirah dibuat ketika solat tarawih dijalankan.
"Dalam 10 hingga 15 minit pun sudah memadai atau pun boleh buat tazkirah selepas tarawih.
"Sebab ada jemaah yang mungkin memang berhasrat nak habiskan tarawih sahaja. Tak semua orang datang ke masjid mahu dengar tazkirah yang terlalu lama," katanya.
Dalam pada itu, Mohamad Sabri berpendapat pengurusan solat tarawih di masjid atau surau perlulah lebih menyenangkan.
"Kalau sesekali sahaja surau itu buat jemaah tak keberatan, tetapi kalau setiap tahun mungkin orang tak pergi ke masjid itu.
"Ibadah sunat ini kita kena buat santai jadi nak pergi surau itu untuk solat pun rasa gembira," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram