MENYAMBUT hari perayaan khususnya Hari Raya Aidilfitri pasti tidak lengkap tanpa pemberian sampul berisi duit raya.
Penggunaan sampul membolehkan individu yang menerimanya berasa tertanya-tanya mengenai jumlah duit raya yang bakal diterima.
Menjadi bingkisan kenangan kanak-kanak, sering kali kita berlumba-lumba menjadi penerima duit raya terbanyak sehinggakan ada yang membandingkan jumlah duit raya yang diterima pada tahun ini dengan tahun sebelumnya.
Di sebalik sampul duit raya, tak ramai yang tahu sebenarnya wujud komuniti pengumpul tegar yang memiliki hobi unik dengan mengumpul sampul.
Buktinya, seorang lelaki, Mohd Ruzaimie Mohamed Din mengakui lebih berminat untuk mengumpul sampul berbanding isi di dalamnya.
BACA LAGI: Nur Izzah tak kisah tangan terluka, anggap pisau mahu jadi kawan di dapur
Mohd Ruzaimie gigih mencari koleksi sampul raya di merata tempat.
Dengan waktu berbaki lebih seminggu sebelum umat Islam menyambut hari raya Aidilfitri, jejaka berkenaan sudah meronda-ronda di sekitar kawasan Kuala Lumpur dan Selangor untuk mencari sampul.
Antara tempat yang sudah ditinjau adalah Batu Caves, Ampang, Bangsar, Taman Melawati, Taman Melati, sekitar Kuala Lumpur dan Cheras.
"Setakat ini saya sudah pergi lebih 80 bank dan buat masa ini, hanya 12 bank yang sudah keluarkan sampul raya.
"Kebiasaannya dalam tempoh dua minggu atau seminggu sebelum raya bank akan release sampul itu," katanya.
Sebelum ini, jejaka yang bekerja sebagai jurutera telekomunikasi itu juga sering mengumpul sampul dengan membeli-belah barangan yang menawarkan sampul dengan setiap pembelian.
"Sambil menyelam minum air, dahulu kecil-kecil kita belum mampu, tunggu orang bagi sahaja.
"Sekarang ada kemampuan jadi saya beli sahajalah. Contoh kalau beli barang RM150 berpeluang dapat satu set sampul, jadi beli minyak wangi atau apa-apa barangan untuk dapatkan sampul itu," katanya.
Tidak hanya mengumpul sampul ketika musim perayaan Aidilfitri, Ruzaimie juga gigih mencari sampul sempena perayaan Thaipusam dan sambutan Tahun Baru Cina.
"Untuk hari Thaipusam sebab kita nak beri kepada pekerja, jadi memang perlu ada sampul juga.
"Kalau Hari Raya Cina pula sebab biasanya sampul warna merah kerana ia dianggap 'ong' atau memberi tuah kepada masyarakat Cina," katanya.
Kini, Ruzaimie sudah berjaya mengumpul lebih 10,000 sampul raya yang disimpan mengikut tahun dan jenis bank.
Mengimbau kenangan semasa kecil, lelaki berusia 38 tahun itu sudah memulakan hobi unik mengumpul sampul sejak berumur tujuh tahun lagi.
"Waktu kecil, ingatkan puzzle, budak-budakkan suka puzzle. Contohnya sampul itu perlukan lima sampul lain untuk bercantum dengan gambar pada sampul itu.
"Saya pun akan tanya saudara mara sehingga kadang-kadang terpaksa beri duit untuk dapatkan sampul daripada orang sebab mahukan sampul itu sahaja," katanya kepada Majoriti.
Koleksi sampul raya yang berjaya dikumpul Mohd Ruzaimie.
Tidak hanya itu, Ruzaimie berminat untuk mengumpul sampul kerana rekaannya yang berwarna-warna sehingga menarik minat pandangan.
"Kita rasa menarik sebab rekaannya colourful. Misalnya kalau saya pergi stesen isi minyak, sampulnya berbeza dari satu tempat ke tempat yang lain," katanya.
Dia juga menghargai nilai sentimental terhadap satu-satu sampul meskipun ia sampul terbuang yang tidak diingini sesiapa lagi.
"Dulu contohnya waktu budak-budak, kita ambil duit manakala sampul dibuang begitu saja. Tapi bagi saya, kalau terkoyak sikit, saya akan tampal dan kumpul sampul raya itu," katanya.
Menganggap sebagai kepuasan yang tidak boleh dijual beli, pemuda itu berasa seronok jika berjaya mengumpul pelbagai jenis sampul.
"Rasa satu kejayaan bila mampu complete puzzle. Macam dulu saya pergi Arab Finance, cawangan A lain, cawangan B lain jadi bila dapat kumpul empat jenis sampul, rekaannya akan complete set.
"Kebiasaannya produk atau jenama minuman dan makanan suka keluarkan sampul yang memiliki rekaan puzzle," katanya.
Malah, orang terdekat juga sudah mengenali hobi uniknya itu sehingga ramai kenalan turut membantu untuk menambah koleksi sampul yang dimilikinya.
"Kawan-kawan pun banyak membantu sebab mereka memang sudah tahu saya gila sampul raya.
"Kalau dapat sampul hasil beli-belah dan sebagainya, mereka tidak keberatan untuk memberikan kepada saya," katanya.
BACA LAGI: Harus hukum berbuka dengan bersetubuh tapi jangan abai adab di sisi Islam — Dr Zulkifli
Bercakap soal cabaran hobi menambah koleksi sampul, Ruzaimie berkata, kesusahan untuk mengumpul hobi uniknya itu adalah dari segi keperluan ramai untuk mendapatkan sampul pada saat-saat akhir.
"Sebab kebanyakan bank pada dua minggu pertama sebelum raya, (sampul) tak ready lagi, minggu ketiga pula belum sampai.
"Minggu keempat masing-masing kena push last minit untuk kejar nak cari sampul tetapi tengok-tengok kadang dah habis pula," katanya.
Bagi individu yang mahu berjinak-jinak menambah koleksi sampul, Ruzaimie berharap agar mereka tidak mudah berputus asa.
"Sebab ada yang rasa nak menyerah bila sampul yang jenis puzzle tak mampu untuk dikumpul.
"Jadi jangan putus asa sahaja. Bila kita minat sesuatu, penat akan hilang dari kepuasan mengumpul itu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram