[VIDEO] Muhammad Farhan gembira terima jantung baharu, kini boleh jalani kehidupan normal


  • Sihat
  • Selasa, 19 Mac 2024

Muhammad Farhan (duduk kiri) bersama doktor dan kakitangan IJN yang telah merawatnya sepanjang di pusat perubatan tersebut.

DIDIAGNOS menghidap penyakit jantung memberi satu tamparan hebat dalam hidup Muhammad Farhan Irfan Mohd Razif.

Mengimbau kembali pengalamannya pada empat tahun lalu, remaja berusia 19 tahun itu mengakui pada awalnya pahit untuk dia menelan realiti tersebut.

Apatah lagi, badannya mulai lemah dan pergerakan rutin hariannya semakin terbatas disebabkan dirinya cepat berasa letih.

"Kadang-kadang saya cemburu dengan rakan sebaya yang boleh melakukan aktiviti bersukan dan lasak.

"Namun saya bersyukur mempunyai keluarga yang sangat memahami dan merekalah sumber kekuatan saya.

"Setiap hari ibu bapa saya akan memberikan kata-kata untuk menaikkan semangat saya," katanya ketika ditemu bual wartawan pada sidang media Institut Jantung Negara (IJN) bagi menyambut kejayaan dua pemindahan jantung baru-baru ini.

BACA LAGI : Ramai yang sanggup berikrar, tapi hanya 0.02 peratus berakhir dengan pemindahan organ

BACA LAGI : 'Kanser bukan tiket untuk mati', pesakit usus tahap 4 tak mudah putus asa, tanam dua impian kembali pulih

Muhammad Farhan Irfan, yang menghidap non-ischaemic dilated cardiomyopathy, iaitu penyakit otot jantung yang meregang dan menipiskan ruang jantung berjaya menjalani pemindahan jantung di IJN pada Januari tahun ini.

Berkongsi tentang perjalanannya sepanjang menerima rawatan, ujarnya, dia menunggu selama lapan bulan untuk mendapatkan jantung baharu selepas menerima rawatan susulan di IJN.

"Sebelum ini, saya dirawat di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Kem Terendak yang berlokasi di Sungai Udang, Melaka.

"Pada waktu itu, saya perlu mengambil pelbagai jenis ubat dan berjumpa dengan ramai doktor setiap hari.

"Akhirnya, saya diminta untuk ke IJN untuk mendapatkan rawatan lebih lanjut sehinggalah saya menerima jantung baharu pada Januari lalu," katanya.

4179785b-ce90-4ff1-8407-b1351f14a76e

Muhammad Farhan Irfan ketika menerima rawatan di IJN. — IJN

Muhammad Farhan Irfan turut mengucapkan terima kasih kepada doktor dan kakitangan IJN yang telah merawat dan membantunya ketika menerima rawatan di pusat perubatan tersebut.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada doktor, jururawat serta kakitangan hospital yang merawat saya. Sekarang kesihatan saya sudah lebih baik," katanya.

Ujarnya lagi, kini dia perlu menguatkan semangat bagi memastikan dirinya sihat dan menjalani kehidupan normal.

"Sekarang saya perlu kuatkan semangat untuk sihat semula.

"Banyak beza selepas saya menerima jantung baharu, sebelum ini saya cepat penat dan letih. Apabila menerima jantung baharu setakat ini saya tidak mempunyai masalah untuk berjalan jauh," katanya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan IJN berjaya melakukan pemindahan jantung terhadap dua pesakit remaja yang menghidap non-ischaemic dilated cardiomyopathy, iaitu penyakit otot jantung yang meregang dan menipiskan ruang jantung.

Kedua-dua pesakit iaitu Muhammad Farhan Irfan Mohd Razif dan Daniella Kang, 18, kini, dilaporkan stabil dan berada dalam proses pemulihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram