MELAWAN penyakit pembawa maut bukanlah satu hal yang mudah kerana ia perlu berbekalkan semangat yang tinggi untuk seseorang itu pulih kembali daripada penderitaan yang dialami.
Itu yang diharungi Norliyana Hanisa Jaafar yang menghidapi penyakit kanser kolon atau lebih dikenali sebagai kanser usus tahap empat apabila tidak mudah berputus asa untuk terus melawan penyakitnya.
Menyelami hati wanita hebat itu sememangnya memberi satu persepsi berbeza kerana kecekalannya mengharungi dugaan itu tak terjangkau dek akal.
Norliyana berkata, dia memiliki pegangan tersendiri sebagai dorongan untuk terus kuat.
"Kanser bukan 'tiket' untuk mati, jangan fikir yang kita akan mati. Saya tak pernah tanya doktor pun soalan-soalan macam boleh hidup sampai bila.
"Sebab saya ada jumpa kawan-kawan yang rasa sedih sampai dia terfikir sempat raya ke tak, bagi saya jangan fikir, fokus untuk sembuh sahaja," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Pujian rakan beri ilham, kaktus dan sukulen jadi terapi Norliyana
Norliyana idam membuka kedai pokok selepas sembuh.
Wanita berusia 37 tahun itu turut menanam dua impian yang ingin dibuat selepas sembuh sebagai satu perangsang untuk pulih.
"Saya tak sabar untuk buka kedai jual pokok kaktus dan sukulen selepas saya sembuh, sebab sebelum ini saya berniaga pokok di booth kecil sahaja.
"Lagi satu, saya jenis wanita aktif jadi saya teringin untuk berenang bersama whale shark, bila kita ada perancangan kita akan rasa macam kena sembuh cepat," katanya.
Sejak didiagnosis kanser kolon tahap 4 pada 13 Oktober 2023, Norliyana kini sudah menerima rawatan kimoterapi sebanyak sembilan kali di Sunway Medical Centre, Subang Jaya, Selangor.
"Kerana jalani kimoterapi itu tumor saya sebesar 5 sentimeter (cm) semakin mengecil dan mengecut. Jadi saya belum buat apa-apa pembedahan lagi buat masa sekarang," katanya.
Akui pernah mengalami titik terendah kehidupan, Norliyana mendedahkan hampir berputus asa akibat rasa keletihan menerima rawatan kimoterapi.
"Bila nak berbaik dengan kesan sampingan, sesetengah orang kesan sampingan dia rambut gugur, macam saya tangan bernanah, kaki bernanah, kalau saya tengah jalan kadang-kadang jatuh sendiri.
"Bila tengah makan ubat, kadang saya stres terlampau jadi kena pandai mengawal emosi sebab saya ada anak-anak," katanya.
BACA LAGI: Cemas kawan kena serangan jantung ketika bersukan? Pakar kongsi simptom dan ketahui bantuan awal
Anak dan suami merupakan sumber kekuatan Norliyana bagi mengharungi dugaan hidup.
Norliyana turut bersyukur dengan sumber kekuatannya untuk terus bangkit apabila melihat anak-anak dan keluarga.
"Apa yang buat kita kuat tu bila tengok anak. Kedua, suami dan keluarga kerana saya ada keluarga yang saling memberi sokongan," katanya.
Selain itu, Norliana turut memberi pesanan agar pesakit kanser tidak terlalu mengikuti amalan petua masyarakat terdahulu dan terus bertindak untuk merujuk ke pihak perubatan dalam mengambil sebarang pemakanan dan ubatan.
"Orang tua-tua kadang minta kita untuk berpantang makanan, suruh kita makan suplemen itu ini bila tahu kita kanser kerana mereka tidak terlalu memahami apa itu kimoterapi.
"Kimoterapi dia akan bunuh sel aktif tidak kira sel baik atau jahat.
"Jadi untuk atasi kena makan makanan yang bernutrisi macam ayam, daging, ikan, jangan sampai tak makan untuk elak kekurangan nutrisi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram