GANDINGAN hebat bersama kumpulan Indonesia, ST12 kali ini menjadi resume terbaik Hazama sepanjang berada dalam industri muzik tanah air.
Ditanya tentang pengalaman Hazama sepanjang bekerjasama dengan ST12 untuk menjayakan kolaborasi itu, dia tidak menafikan bahawa ia salah satu projek yang paling bermakna baginya.
"Jika tentang perasaan, saya tidak perlu cerita kerana kalau saya tidak gembira, saya tidak akan berada di sini sekarang dan perkara ini pun tidak akan berlaku.
"Ia salah satu pengalaman yang sangat menarik dan juga pengalaman pertama saya merakamkan lagu di negara orang.
"Ini juga merupakan pengalaman pertama saya berkolaborasi bersama kumpulan bernama besar daripada peringkat antarabangsa," katanya kepada Majoriti.
Menurutnya, projek bersama ST12 itu turut merupakan satu pengalaman peribadinya yang terbaik sepanjang kariernya dalam industri seni tempatan.
Dalam pada itu, Hazama juga menyatakan tujuannya menerima lamaran daripada ST12 juga adalah untuk membuktikan bahawa tiada jurang batasan dalam industri muzik.
"Saya nak tunjukkan kepada kedua-dua negara bahawa muzik itu tiada batas kerana saya tahu pendengar ST12 dengan Malaysia mempunyai cita rasa yang sama.
"Bukan itu sahaja, karya-karya mereka ini pun sememangnya sudah dekat di hati pendengar di sini, jadi saya nak tunjuk kami adalah satu rumpun kerana yang penting muzik itu rasanya sama," katanya lagi.
Sementara itu, Hazama turut menafikan bahawa projek ini strategi untuk kekal relevan dalam industri seni.
"Bila bercerita tentang seni, saya tiada sebarang strategi dan hanya buat yang terbaik, jujur walau dengan siapa pun," tambahnya.
Selain itu, konsert daripada hasil kolaborasi yang bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 10 November, merupakan hadiah paling istimewa bagi seluruh peminat terutamanya di Malaysia.
Selepas dua dekad, kumpulan popular Indonesia, ST12 kini kembali melebarkan sayapnya dengan kemunculan lagu gandingan pertama bersama Hazama berjudul Harapan Tak Kunjung Usai baru-baru ini.
"Pastinya konsert kali ini sangat istimewa kerana ini kali pertama kami akan membuat persembahan dan berada di atas pentas bersama penyanyi Malaysia iaitu Hazama.
"kita sama-sama memang berkolaborasi untuk mencapai situasi 'win-win' dan semoga boleh diterima juga oleh peminat muzik.
"Bukan itu sahaja, kami juga akan mempersembahkan lagu terbaharu kami kepada peminat-peminat di sini," kata Pepep atau nama sebenar Ilham Febry yang merupakan pemain dram ST12.
Bak kata pepatah Melayu, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih, begitu juga dengan ST12 dan Hazama yang tidak berputus asa dalam menjayakan konsert pertamanya itu.
"Walaupun banyak kekangan masa dari segi untuk praktis bersama, tetapi ia tetap mudah kerana Hazama juga memberikan kerjasama yang baik dan mudah untuk berkomunikasi," kata Indra Gunawan selaku pemain gitar ST12.
Tambah Hazama, jarak yang jauh juga merupakan salah satu cabaran untuk berlatih dengan lengkap kerana ia melibatkan dua negara.
"Sebenarnya yang sukar adalah jarak kerana saya di Kuala Lumpur manakala ST12 di Bandung dan dari segi praktis lagu kami mungkin tak cukup masa.
"Bila ST12 datang ke Malaysia, baru mereka dapat praktis secara keseluruhan dan hanya satu hari dua kali sebelum kita dapat praktis lengkap.
"Kerana sebelum ini, kita akan lebih berkomunikasi melalui media sosial atau panggilan telefon untuk sesi susunan lagu," kata Hazama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram