'Semuanya kerana Rossa', air mata jantan Cakra Khan gugur di Zepp KL


  • Hiburan
  • Isnin, 18 Sep 2023

Cakra Khan menghiburkan peminatnya ketika Konsert Cakra Khan Live in Kuala Lumpur pada Ahad. — Dream Festival Collaboration

PENYANYI terkenal Indonesia, Cakra Khan tidak dapat menyembunyikan kesedihannya semasa menghiburkan peminat ketika Konsert Cakra Khan Live in Kuala Lumpur di Zepp KL pada Ahad.

Penyanyi yang pernah memikat hati juri America's Got Talent 2023 itu dilihat masih merasai pemergian bapanya, Hermana dan sahabat akrabnya yang meninggal dunia ketika pandemik Covid-19 pada 2020.

Pemilik nama sebenar Cakra Konta Paryaman, 31, itu dilihat begitu hiba sebaik menyanyikan lagu Monsters nyanyian James Blunt sebelum dipujuk ribuan peminat yang menyanyi bersamanya sejak awal konsert.

cakra khan1

CAKRA Khan (tengah) sempat bergambar kenangan bersama Nadeera (kiri) dan Riri Moeya (kanan) selepas tamat Konsert Cakra Khan Live in Kuala Lumpur pada Ahad.

Pada masa sama, Cakra Khan juga tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada diva tersohor Indonesia, Datuk Seri Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani, 44, yang turut hadir menyaksikan persembahan itu.

"Kalau nak tahu, Rossa yang membawa saya ke Malaysia buat pertama kali. Semuanya kerana Rossa. Tanpa beliau, mungkin saya tidak akan berada di sini.

"Di mana ada Cakra Khan di Malaysia, di situ ada Rossa. Sampai bila-bila saya takkan lupakan itu, terima kasih Rossa," kata Cakra Khan yang mendapat sorakan gemuruh penonton.

cakra khan4

ANTARA ribuan peminat yang hadir menyaksikan Konsert Cakra Khan Live in Kuala Lumpur pada Ahad.

Pada konsert berdurasi lebih tiga jam itu, Cakra Khan menyampaikan lebih 16 buah lagu termasuk beberapa lagu popularnya iaitu Kekasih Bayangan, Harus Terpisah, Terlanjur Cinta dan banyak lagi.

cakra khan2

CAKRA Khan cukup kagum dengan bakat yang dimiliki Nadeera dan berharap dapat berkolaborasi dengan juara Big Stage 2023 satu hari nanti.

Selain Cakra Khan, konsert itu juga dimeriahkan dengan persembahan bertenaga penyanyi baharu Indonesia, Riri Moeya dan juara Big Stage 2023, Nadeera Zaini.

Konsert anjuran Dream Festival Collaboration itu berlangsung di Zepp KL dengan harga tiket bermula RM178 sehingga RM5,800. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram