Terjun bidang nyanyian, Ikhmal Nour pasang impian mahu jadi pelakon, hos untuk kekal relevan


  • Hiburan
  • Sabtu, 16 Sep 2023

Tangkap layar video muzik lagu terbaharu Ikhmal Nour bersama Wani Shaz yang berjudul Figura.

PEMPENGARUH media sosial, Ikhmal Nour kini aktif menempah nama dalam industri muzik tanah air selepas tular sebagai selebriti TikTok baru-baru ini.

Ditanya tentang kemunculannya dalam bidang muzik, Ikhmal berkata, dia melakukannya sebagai sebahagian daripada minat dan cintanya terhadap industri seni.

"Nak kata dah lama melibatkan diri dalam industri ini tidak juga.

"Cuma sejak sekolah rendah, menengah hingga sekarang memang saya sudah banyak menyanyi lagu nasyid.

"Alhamdulillah, selepas banyak muat naik video nyanyian di media sosial akhirnya saya dilamar oleh Mixology Music untuk menjadi penyanyi di bawah naungan mereka," tambahnya lagi.

msg1050426791-16601

Ikhmal Nour bersama rakan duetnya, Wani Shaz ketika mempromosi lagu terbaharu berjudul Fifura di Suria FM pada Rabu.

Ikhmal yang muncul dengan lagu terbaharu berjudul Figura juga menyatakan bahawa Wani Shaz menjadi pilihannya sebagai rakan duet di dalam lagu tersebut.

"Dalam ramai-ramai penyanyi, Wani Shaz adalah antara penyanyi yang mempunyai elemen Arab dalam setiap lagunya.

"Saya memang sudah lama minat dengan kak Wani dan tidak menyangka akan berduet dengannya sekarang," jelasnya lagi.

Pemenang Anugerah TikTok Malaysia 2023 bagi kategori Rising Star of The Year pada 27 Ogos itu juga memilih genre Arab untuk menjadi sebahagian daripada identitinya.

"Saya memang minat lagu-lagu Arab dan saya mahu jadikan ia salah satu identiti untuk saya dalam industri seni ini," katanya kepada Majoriti.

Selain itu, Ikhmal yang terkenal dengan video berunsurkan hiburan di akaun TikTok menyatakan hasratnya untuk kekal relevan sebagai seorang pempengaruh media sosial.

"Sebagai pempengaruh tidak kira di TikTok atau Youtube, setiap hasil karya yang dilakukan amat penting untuk saya kekal relevan dalam jangka masa panjang.

"Ia kerana setiap hari akan ada pempengaruh yang baharu, jadi perlunya ada karya-karya seperti ini.

"Mungkin bagi saya, selepas ini saya boleh masuk dalam bidang lakonan atau pengacaraan pula," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram