Berahsia judul lagu, karya baharu Sophia Liana tampil elemen Nusantara


  • Hiburan
  • Rabu, 20 Sep 2023

Sophia bakal mengeluarkan lagu baharu bersama band Darmas pada Oktober ini.

NAMA Sophia Liana tidak lagi perlu diperkenalkan dalam scene muzik rap di negara ini memandangkan anggota De FAM itu masih aktif dalam bidang nyanyian meskipun banyak bergerak solo sejak 2018.

Enggan namanya terus sepi, penyanyi berusia 32 tahun itu kembali mengubat kerinduan peminat apabila dia bakal mengeluarkan lagu baharu pada bulan Oktober hadapan.

Memilih untuk merahsiakan judul lagu baharu itu buat sementara waktu, Sophia berkata, dia akan bergandingan bersama kumpulan muzik band lokal, Darmas.

WhatsApp Image 2023-09-20 at 4.00.13 PM (1)

Band Darmas, yang merupakan gandingan bersama Sophia Liana untuk lagu terbaharu penyanyi itu.

Bagi sesiapa yang belum mengenali Darmas, ia merupakan sebuah band terdiri daripada enam pemuzik yang menggerakkan irama klasik Melayu tradisional seperti joget, zapin dan canggung.

Menurut Sophia, dia memilih untuk berganding dengan band Darmas bagi membawakan keunikan dan perbezaan baharu dalam lagunya kali ini.

Sophia atau nama sebenar Sophiatul Liana Mohamed Sobri berkata, genre muzik terbaharu yang bakal dikeluarkan tetap mempunyai aliran muzik rap, iaitu hiphop, namun memasukkan elemen tradisional di dalamnya yang menjadikan muziknya sangat berbeza daripada yang lain.

"Ini kali pertama kali Sophia nak keluarkan sesuatu yang sangat beza, jadi harap peminat bersedialah untuk lihat apa yang Sophia bakal tampilkan.

"Dari segi kelainan, lagu ini berbeza daripada lagu berjudul Nah dan karya-karya lain yang Sophia pernah keluarkan sebelum ini," katanya.

Mengulas lanjut, Sophia berkata, lagu yang bakal dikeluarkan itu mengambil unsur tradisional Nusantara untuk dipamerkan dalam elemen bunyi muzik.

"Darmas sebagai satu band fusion tradisional yang membawakan elemen muzik Nusantara akan menerapkan konsep sama dalam lagu terbaharu ini," katanya.

Sementara itu, mengulas soal perkembangan terbaharu, Sophia bakal mempersembahkan lagu solo berjudul Nah pada Festival Toyota GAZOO Racing yang bertempat di Litar Antarabangsa Sepang pada 1 Oktober ini.

Sophia juga bakal beraksi 'dansa dan sing' dalam konsert Juicy live di Zep Kuala Lumpur pukul 8 malam pada 25 November

"Sophia memang nak sampaikan persembahan kepada peminat yang rindu tengok Sofia dalam 'dansa dan sing'.

"Selalunya orang tengok Sophia buat persembahan di kaca televisyen, tapi kali ini korang boleh pergi tengok secara live dengan dapatkan tiket di Instagram @juicy.live," katanya.

Untuk rekod, Sophia mula bertapak dalam industri seni tanah air bersama kumpulan De Fam yang ditubuhkan pada tahun 2015.

Pada Jun 2023 lalu, Sophia yang masih aktif dalam kumpulan De Fam membina jenamanya sendiri dengan mempamerkan bakatnya melalui lagu berjudul Nah.

Nah merupakan hasil ciptaan Sophia bersama komposer Navigator, Mambang (penulis lirik) dan Zizi Kirana yang mengisahkan tentang isu yang berlaku dalam masyarakat sekeliling. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram