NEGARAKU merupakan lagu kebangsaan yang sememangnya menjadi kebanggaan buat seluruh rakyat Malaysia.
Malah, ia juga adalah salah satu lambang kebesaran buat negara selain daripada Jalur Gemilang.
Disebabkan itu, tindakan kumpulan Orkestra Simfonik Wind Seri Puteri (SPWinds) untuk membawakan lagu Negaraku ketika berada di Barcelona, Sepanyol ternyata menimbulkan satu kebanggan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Malah menerusi video tular di sosial media, sebaik kumpulan pelajar tersebut mula mengumandangkan lagu berkenaan, orang ramai berada di hadapan dilihat membuka laluan untuk memberi ruang kepada persembahan tersebut.
"Semua ketepi bila lagu Negaraku dimainkan di Barcelona," kata tulisan dalam video tersebut yang dikongsikan pengguna TikTok, naguibkaharudin yang merupakan bapa kepada salah seorang kumpulan orkestra sekolah terbabit.
Sebaik menamatkan lagu tersebut, orang ramai termasuk pelajar daripada kumpulan orkestra lain turut memberikan tepukan.
Di ruangan komen, rata-rata warganet tidak dapat menyembunyikan kebanggaan mereka terhadap persembahan lagu Negaraku yang dimainkan kumpulan orkestra SPWinds itu.
"Kenapa saya rasa sebak bila dengar lagu Negaraku. rasa nak menangis," tulis Jass hensem boy.
"Jika kita berada bersama-sama mereka, pasti menitiskan airmata kerana spirit of patriotic very high, we are Malaysian guys," ujar khairudinkhairul83.
"Negaraku di mata dunia, sebak mendengar berkumandangnya alunan Negaraku," ujar ayoh cik.
SPWindS yang merupakan kumpulan orkestra daripada Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya berada di Barcelona untuk memenuhi jemputan menyertai kejohanan International Orchestra Festival and Competition Golden Sardana yang diadakan pada Khamis.
Dalam pada itu, satu lagi perkongsian berlainan di sosial media turut menyatakan bahawa satu lagi persembahan terbuka yang dijalankan oleh SPWINDS sebelum malam pertandingan turut mendapat reaksi yang mengujakan daripada orang ramai.
Perkara itu juga dikongsikan sendiri oleh salah seorang bapa pelajar daripada kumpulan terbabit yang menggunakan akaun, Muhammad Harris Nasril.
"Semalam pancaragam Seri Puteri Symphonic Winds adakan konsert persahabatan terbuka percuma di Lloret de Mar, Sepanyol sebelum acara pertandingan malam ini (Khamis).
"Menurut orang rumah saya (isteri), ada beberapa band yang adakan persembahan terbuka, tetapi SP Symphonic Winds mendapat tepukan paling gemuruh. 'Bravo! Bravo!' kata mereka.
"Barangkali mereka tidak menyangka adik-adik bertudung dari Malaysia boleh main sehebat itu," tulisnya yang turut berkongsikan video beberapa lagu dimainkan kumpulan terbabit dalam persembahan terbuka itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram