[VIDEO] Baby Shima tak rasa diri seksi, akui 'fans' Indonesia lebih fanatik


  • Hiburan
  • Sabtu, 16 Sep 2023

Baby Shima kini bernaung di bawah label muzik Nagaswara di Indonesia. — Instagram/babyshimaofficial

NAMANYA tidak lekang dengan kontroversi, penyanyi dangdut, Baby Shima baru-baru ini sekali lagi menghangatkan radar netizen Malaysia gara-gara gelekan 'berani mati' semasa persembahannya di Hausboom Music 2023.

Rakaman video dirakam penonton-penonton yang menggamatkan suasana di karnival muzik yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor itu kini rancak dikongsikan di laman media sosial.

Menerusi video tersebut, penyanyi kecil molek itu dilihat mengenakan baju ketat berwarna perak sedang bergelek di hadapan ratusan penonton yang menyaksikan persembahannya.

Persembahan 'mautnya' itu nyata mendapat kecaman pelbagai pihak yang menyifatkan pelantun lagu Lalai tersebut sengaja mencipta kontroversi kerana ingin menarik perhatian orang ramai.

Bagaimanapun, Baby Shima mengakui tahap seksinya itu boleh dikatakan tidaklah terlalu keterlaluan sehingga mendedahkan bahagian tubuh yang tidak sepatutnya.

"Seksi saya itu tidaklah sampai nampak pusat (atau) nampak lurah dada. Saya tengok ada juga di sini (artis Malaysia) yang berpakaian seksi.

"Bukan saya saja satu-satunya artis yang mengenakan pakaian seksi. Tapi mungkin peminat mereka selalu sokong mereka, jadi tidak ada yang kecam.

"Mungkin orang tak boleh terima (cara pemakaian) Shima, tapi tidak mengapalah nak buat macam mana.

"Saya tak boleh nak tutup mulut orang. Itu pandangan dan pemikiran mereka. Kalau orang tak suka kita tidak mengapa, terima sahaja," katanya ketika ditemui Majoriti pada Khamis.

Pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli itu bagaimanapun mengakui bahawa dirinya tidak lagi terlalu terkesan dengan kecaman daripada netizen, berbanding sewaktu awal pembabitannya dalam industri seni tempatan.

"Kalau dulu Shima rasa tertekan dan murung, tapi lama-lama terpulanglah mereka nak cakap apa. Kita pun tak boleh nak tutup mulut orang, jadi biarlah," ujar penyanyi berusia 31 tahun itu.

WhatsApp Image 2023-09-15 at 19.43.08

Baby Shima kini semakin aktif membuat persembahan di Indonesia dan Malaysia. — Instagram/babyshimaofficial

Baby Shima yang bernaung di bawah label muzik Nagaswara yang bertempat di Indonesia kini dilihat semakin aktif membuat persembahan baik di Indonesia mahupun Malaysia.

Menceritakan pengalaman mengadakan persembahan di negara seberang, kongsinya, peminat di sana dilihat lebih fanatik dan kebanyakannya memang meminati genre dangdut.

"Muzik mereka lebih ke arah dangdut, dari kecil dah dengar lagu-lagu dangdut jadi mereka boleh menerima lagu-lagu ini dengan baik.

"Menariknya, majlis sunat pun mereka buat konsert dangdut. Jadi, mereka lebih menerima persembahan (saya)," katanya.

WhatsApp Image 2023-09-15 at 19.49.36

Baby Shima bakal tampil dengan single terbaru ciptaan Pasha Ungu. — Instagram/babyshimaofficial

Berkongsi mengenai perkembangan terkini, Baby Shima mengakui teruja dengan kemunculan single terbarunya ciptaan Pasha Ungu yang dihasilkan khusus buatnya.

Kongsinya, dia dan vokalis band Ungu itu pernah berduet di sebuah konsert di Indonesia, sebelum Pasha menawarkan peluang untuk menghasilkan lagu baharu untuknya.

"Tempoh hari saya pernah berduet dengan Pasha di sebuah konsert. Dia perasan saya selalu nyanyi di (aplikasi) Smule, (selepas itu) kami pun bertukar nombor telefon.

"Promo single terbaru akan datang Insya-ALLAH tahun depan (tetapi) judul (lagu) belum ada lagi.

"Katanya lagu ini sesuai untuk saya, melodi pop tapi muziknya ke arah dangdut. Lagu itu dah siap record, tapi video klip masih belum siap lagi," ujarnya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram