MEMILIKI karakter vokal yang lunak dan serak-serak basah, tidak hairanlah Amir Masdi menjadi antara figura yang mendapat perhatian penggiat industri hiburan tanah air.
Selepas tujuh tahun pembabitannya dalam dunia seni negara, bekas juara Akademi Fantasia 2016 itu kini mampu berbangga dengan pencapaiannya menghasilkan album sulung berjudul 'Amir Masdi'.
Kehadiran jejaka berusia 27 tahun itu mewarnai lagi pasaran industri seni negara dengan penghasilan karya-karya yang segar dan berkualiti.
Album tersebut memuatkan 12 lagu termasuk yang pernah dikeluarkan sebelum ini serta beberapa lagu baharu yang ditulis sendiri dan ditulis bersama komposer lain sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Album ini diberi tajuk nama saya sendiri sebab bila orang beli, mereka akan tahu dan kenal inilah Amir Masdi. Ia adalah album pertama, jadi saya nak memperkenalkan diri menerusi album.
"Main single album ini adalah lagu 'Berhenti Mencinta' yang ditulis sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim.
“Album ini berkonsepkan matahari kerana ia adalah antara sumber utama manusia dalam kehidupan. Matahari juga ada sunrise dan sunset, jadi album ini adalah sunrise atau boleh dikatakan kelahiran pertama saya. Ia juga ibarat cahaya pertama yang menyinari karier saya," katanya kepada Majoriti.
Kehadiran Amir Masdi mewarnai lagi pasaran industri seni negara. — Instagram/Amir Masdi
Menariknya, selain dilancarkan menerusi platform digital, album tersebut turut dikeluarkan dalam bentuk fizikal.
Mengakui keputusan mengeluarkan album fizikal bukan satu proses yang mudah, namum anak kelahiran Cheras, Selangor tetap berpegang bahawa ia mempunyai nilai sentimental sendiri berbanding album digital.
"Mempunyai album fizikal adalah impian saya sejak awal bergelar penyanyi.
"Syukur Alhamdulillah first batch kita dah keluarkan 300 album dan sambutan sangat menggalakkan yang mana album tersebut sudah habis terjual dalam masa kurang seminggu dilancarkan.
"Batch akan datang bakal dikeluarkan dalam tempoh terdekat, tetapi itu nanti kita akan umumkan kemudian.
"Saya harap album ini dapat membuahkan hasil yang lebih segar untuk industri sebab kita dah lama tidak ada album (fizikal), harapnya selepas ini kita akan hasilkan lebih banyak album supaya industri ini akan lebih berwarna-warni," luahnya.
Ingin memastikan material album berada di tahap terbaik adalah antara faktor pemilik nama sebenar Amir Syazwan Masdi menghasilkan album sulungnya selepas tujuh tahun berada dalam industri.
Mempunyai album fizikal adalah impian Amir Masdi sejak awal bergelar penyanyi. — Instagram/Amir Masdi
Kongsi Amir, pencarian material lagu untuk albumnya sudah bermula sejak beberapa tahun lalu.
“Saya mula kumpul bahan untuk penghasilan album ini sejak sebelum PKP lagi. Saya tak mahu buat kerja sekerat jalan.
"Saya tak mahu buat hanya untuk ada album semata-mata, saya nak kita buat betul-betul sama ada dari segi konsep, lagu, look mahupun feel.
"Kalau ikutkan empat hinga lima tahun lepas dah boleh keluar album tapi album itu akan jadi empat hingga lima lagu saja. Saya rasa rugi.
"Saya buat betul-betul, tak kisahlah ambil masa berapa lama pun, asalkan bukan album tangkap muat," ujarnya.
Tiada tekanan daripada keluarga, Amir Masdi tak mahu rushing soal jodoh
Amir Masdi mengakui masih ingin fokus dalam kerjayanya dan tidak terburu-buru untuk mencari pasangan. — Instagram/Amir Masdi
Berbicara soal jodoh, pelantun lagu Kau Sakiti, Asmara dan Pemilik Cinta itu mengakui dia tidak mahu terburu-buru dalam memilih pasangan hidupnya.
Katanya, mendirikan rumah tangga bukanlah keutamaannya ketika ini kerana dirinya masih lagi dalam fasa ingin mengembangkan karier seninya ke peringkat yang lebih tinggi.
"Bukan tak mahu langsung, saya tak mencari tapi kalau dia (jodoh) itu datang, kita boleh pertimbangkan.
"Saya memang betul-betul tengah fokus dengan kerjaya, dan ini adalah masa yang paling sesuai untuk saya all out kerja sebab saya mahu karier ini berterusan, bukan sekarang sahaja.
"Dulu target sebelum umur 30 tahun nak kahwin, tapi sekarang sudah tak kisah, tidak ada tekanan.
"Macam mak saya cakap, jangan terburu-buru, Insya-ALLAH jangan paksa, kalau ada, dia akan datang sendiri," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram