KEHADIRAN sekumpulan pelajar tahfiz dalam satu konsert yang diadakan di Shah Alam, Selangor pada Sabtu lalu menimbulkan perdebatan dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Ini kerana rata-rata berpendapat tindakan menjemput pelajar berkenaan dianggap agak tidak sesuai bagi menghadiri acara hiburan sedemikian.
Apatah lagi, kumpulan itu juga dilihat hadir ke program berkenaan dengan berpakaian jubah dan termasuk berserban.
Mengulas pengenai insiden itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, secara umumnya bukanlah menjadi kesalahan untuk umat Islam khususnya termasuk pelajar tahfiz berkenaan untuk menghadiri sesuatu konsert.
"Ini bergantung kepada apa jenis konsert yang ditonton dan suasana di tempat ia diadakan. Jika konsert itu mempersembahkan lagu nasyid atau zikir yang mengajak kepada mengingati ALLAH dan melakukan kebajikan, maka tiada masalah di sudut hukum Islam.
"Di samping itu suasana tempat konsert itu juga tiada disertai dengan perkara-perkara yang diharamkan seperti pergaulan bebas antara lelaki dan wanita, persembahan tarian yang menghairahkan dan mendedahkan aurat.
"Hukum Islam tidak membezakan antara pelajar tahfiz dengan individu lain. Kalau berdosa tetap berdosa walau siapapun pelakunya," katanya kepada Majoriti.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor.
Sementara itu, Wan Salim berkata, dalam insiden tersebut, pihak yang berdosa adalah individu yang membawa pelajar tersebut ke konsert berkenaan.
"Orang yang membawa budak itu ke konsert yang menyajikan perkara-perkara haram adalah menanggung dosa berganda, dosa dirinya sendiri dan dosa kerana mendedahkan para pelajar tahfiz tu kepada maksiat," ujarnya.
Sehubungan itu, Wan Salim berkata, mudir dan pengetua maahad tahfiz dinasihatkan supaya membuat penyelidikan teliti berkenaan aktiviti luar yang bakal dijalani oleh pelajar mereka dan mengelakkan daripada berulangnya insiden sedemikian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram