Baby Shima ada 3 pilihan parti bertanding PRN 2023


  • Politik
  • Selasa, 25 Jul 2023

Baby Shima ketika tampil dalam salah satu persembahan yang dihadiri ribuan penonton pada Mac lalu. — Facebook/BabyShima

ARTIS dangdut tanah air, Nor Ashima Ramli atau lebih dikenali sebagai Baby Shima membuat kejutan apabila mengumumkan dirinya bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada 12 Ogos depan.

Berita tersebut agak memeranjatkan memandangkan dia sebelum ini dilihat tidak menunjukkan sebarang kecenderungan terhadap mana-mana aktiviti politik.

Namun begitu, Shima dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat kerana dia mahu membela nasib rakyat Malaysia terutamanya kumpulan anak muda yang berhadapan dengan pelbagai masalah.

Pada masa sama, dia turut mengingatkan anak muda berkenaan dengan kuasa dimiliki golongan tersebut bagi membawa perubahan.

"Assalamualaikum rakyat Malaysia. Dengan ini saya ingin mengumumkan yang saya akan bertanding PRN ini untuk berkhidmat dan membela rakyat.

"Ingat, kamu bawa perubahan. Fikir-fikirkanlah anak muda. Undi saya," katanya yang terkenal dengan lagu RoadBlock Hatiku menerusi hantaran video di Instagramnya.

Untuk rekod, penyertaan artis tanah air sebagai calon pilihan raya di Malaysia bukanlah satu fenomena baharu.

Antara nama pernah mewarnai arena politik negara ialah penyanyi legenda, Aishah dan Herman Tino, Datuk Seri Dr Eizlan Yusof, Dr Ahmad Idham serta Azlan Sani Zawawi yang turut dikenali sebagai Lando.

Meskipun dilaporkan mahu bertanding atas tiket calon Bebas, Shima dilihat boleh mempertimbangkan menyertai beberapa parti politik tanah air terutamanya jika mahu membantu dirinya kekal lebih lama dalam arena politik.

Berikut Majoriti senaraikan tiga parti di dalam negara yang boleh disertai oleh Shima:

1. Umno

1792427

Dira kini memegang jawatan sebagai ahli MKT Umno.

Sebagai parti yang paling lama menerajui kerajaan, Umno tentunya mempunyai hubungan yang tersendiri bersama penggiat seni negara.

Malah, Umno juga dilihat mendapat sokongan daripada beberapa persatuan utama artis di dalam negara khususnya sebelum berlakunya peralihan kerajaan pada PRU 2018.

Pada masa sama, parti ini juga menunjukkan keterbukaan untuk menyediakan ruang kepada individu yang memiliki latar belakang sebagai anak seni bagi berkhidmat dalam barisan kepimpinannya.

Antara yang kini mendapat peluang tersebut ialah pelakon, Datuk Khaidirah Abu Zahar atau dikenali sebagai Dira yang memegang jawatan sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Beliau yang menyertai PRN Melaka pada 2021 sebagai calon turut berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim.

Dalam pada itu, seorang lagi artis berada dalam kepimpinan Umno ialah pelakon, Anne Ngasri yang menyandang jawatan sebagai Exco Wanita Umno Malaysia.

Dengan keterbukaan tersebut, Shima pastinya mempunyai peluang untuk menyumbang bersama parti ini.

2. PKR

314902528_10158610027015759_7546112934522316677_n

Hans Isaac (depan) dan Altimet kini memilih untuk bersama PKR dalam perjuangan politik masing-masing.

Selain Umno, Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut menjadi antara yang menyambut baik penyertaan artis tanah air.

Antara nama besar mengambil keputusan menyertai parti itu ialah penyanyi rap yang memegang jawatan Ketua PKR Cabang Ampang, Altimet; pelakon dan pengarah yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Gerald Hans Isaac dan Datuk Afdlin Shauki.

Pada PRN kali ini, PKR turut meletakkan Altimet sebagai calon bagi bersaing merebut kembali kerusi DUN Lembah Jaya yang dimenangi parti itu pada PRU 2018 daripada penyandangnya yang bertindak keluar parti pada 2020.

PKR yang merupakan parti terdiri daripada pelbagai kaum dilihat turut mempunyai pendirian lebih terbuka terhadap industri hiburan dan seni tanah air.

Dalam pada itu, penyertaan Shima sekiranya direalisasikan berkemungkinan mampu meningkatkan keberkesanan kempen parti itu di sosial media khususnya di platform seperti TikTok dan Instagram.

Buat masa ini, Shima yang turut mengembangkan kariernya di Indonesia mempunyai jumlah pengikut seramai 4.9 juta di TikTok.

3. Muda

PETALING JAYA, 13 Julai -- Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah)  ketika pengumuman calon barisan pertama MUDA di Selangor  bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri 2023 di Bilik Gerakan MUDA, Kampung Tunku hari ini.-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Syed Saddiq (depan) ketika majlis pengumuman calon Muda bagi PRN kali ini.

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pimpinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan antara pemain baharu dalam politik negara.

Dengan imej lebih terbuka dan melawan arus, Muda dilihat tidak mempunyai masalah untuk menerima Shima bagi membantu memperkukuhkan parti itu.

Apatah lagi, parti itu juga kini membuka pencalonan kepada orang ramai bagi mewakilinya dalam PRN kali ini.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha mereka untuk menampilkan calon terdiri daripada pelbagai latar belakang masyarakat Malaysia.

Disebabkan itu, kehadiran Shima sebagai calon bagi Muda adalah satu perkembangan yang menarik untuk disaksikan jika berlaku kerana selain mempunyai populariti agak tinggi, artis itu juga dilihat mampu menarik kelompok pengundi yang mungkin masih tidak diterokai oleh parti itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram