[VIDEO] 5 filem patriotik adaptasi kisah benar mampu suntik jiwa merdeka anak Malaysia


  • Hiburan
  • Sabtu, 26 Ogos 2023

Filem Malbatt: Misi Bakara ketika ini masih lagi rancak ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia.

TANGGAL 31 Ogos 1957 merupakan tarikh keramat buat seluruh rakyat Malaysia. Tarikh tersebut menandakan berakhirnya zaman penjajahan tentera British terhadap Malaysia yang dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu.

Pada hari bermakna itulah negara diisytiharkan bebas daripada cengkaman penjajah sehinggalah rakyat Malaysia mampu hidup makmur dan bebas sehingga ke hari ini.

Sebenarnya, pelbagai cara dilakukan oleh rakyat Malaysia bagi menzahirkan penghargaan mereka terhadap wira dan wirawati negara yang sebelum ini bermati-matian berjuang untuk memerdekakan tanah air.

Usaha itu termasuklah menterjemahkan penghargaan kepada pahlawan dan pemimpin negara menerusi karya seni yang dihasilkan oleh penggiat filem tempatan, sekali gus berupaya menyemarakkan semangat juang dalam kalangan anak-anak muda.

Berikut Majoriti senaraikan lima filem berunsur patriotik adaptasi daripada kisah benar yang diyakini mampu menyuntik jiwa merdeka anda:

1. PASKAL The Movie

Pasukan Khas Laut (PASKAL) The Movie merupakan sebuah filem aksi ketenteraan Malaysia yang diadaptasi daripada kisah benar.

Filem ini mengisahkan tentang jerit perih pasukan elit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam misi merampas kembali kapal dagang MV Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.

Komander Leftenan Arman Rahmat ialah pegawai Pasukan Khas TLDM dengan sejarah perkhidmatan yang terkenal.

Dia mengetuai pasukan yang membebaskan MV Bunga Laurel - kapal tangki kimia Malaysia yang dirampas oleh lanun Somalia di pantai Afrika. Dia juga dipuji sebagai wira kebangsaan untuk eksploitasinya di bawah bendera tentera pengaman Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Angola.

Filem arahan Adrian Teh itu menjalani penggambaran pada Mac 2018 di Kuala Lumpur dan berakhir pada Mei 2018, dan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 27 September 2018.

Antara pelakon yang membintangi PASKAL termasuklah Hairul Azreen, Ammar Alfian, Henley Hii, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Hafizul Kamal, Theebaan G dan Jasmine Suraya Chin.

Filem berkenaan menerima ulasan positif dan bercampur-campur daripada pengkritik dan berjaya meraih kutipan tertinggi sebanyak RM30.08 juta, menjadikannya sebagai salah satu filem dengan kutipan pecah panggung tertinggi di Malaysia, selepas Hantu Kak Limah dan Munafik 2.

2. Malbatt: Misi Bakara

Malbatt: Misi Bakara juga adalah filem berkisarkan peristiwa sebenar, ‘Black Hawk Down’ yang menceritakan peranan pasukan tentera Malaysia yang terlibat dalam operasi menyelamat pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) yang dikepung ribuan pengikut Farah Aidid semasa pentempuran di Bakara Market, Somalia.

Seramai 114 anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt) 1 terbabit dalam misi pengaman di Somalia pada 1992 hingga 1995.

Mereka ditugaskan untuk menyelamatkan 70 anggota US Rangers yang terperangkap dalam kejadian tersebut.

Ketika itu, pasukan tentera AS dikepung oleh ribuan pengikut Farah Aidid semasa berlakunya pertempuran. Mereka terperangkap selepas helikopter Black Hawk mereka terhempas di kawasan tersebut.

Filem Malbatt: Misi Bakara mencipta rekod sebagai filem termahal pernah dihasilkan oleh karyawan tempatan apabila kos pembikinannya menelan belanja sebanyak RM20 juta.

Antara nama besar yang menjayakan filem arahan Adrian Teh itu termasuk Bront Palarae (Mejar Adnan), Shaheizy Sam (Lans Koperal Ramlee), Hairul Azreen (Leftenan Ismail), Zahiril Adzim (Leftenan Dahari), Adlin Aman Ramlie (Kolonel Rahman) dan Tony Eusoff (Mejar Abd Samad).

3. 1957 Hati Malaya

Filem 1957: Hati Malaya diterbitkan sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-50 pada tahun 2007.

Filem itu berkisarkan sekumpulan anak muda tempatan yang berusaha untuk menerbitkan sebuah buku bergambar berjudul 1957- Hati Malaya.

Filem berkenaan bertumpu kepada Tunku Abdul Rahman (lakonan Mohd Kamarulzaman Taib), pengasas Parti Perikatan, yang menjadi Perdana Menteri pertama Malaya pada tahun 1957 walaupun mendapat tentangan secara halus dari British yang mahu melambatkan kemerdekaan.

Selain itu, ia juga turut memaparkan perjuangan Datuk Onn Ja’afar (lakonan Zaefrul Nordin), pengasas Umno yang berjaya membangkitkan semangat nasionalisme dalam kalangan orang Melayu menentang penubuhan Malayan Union yang dicadangkan oleh British pada tahun 1946.

Menerusi filem tersebut juga kita dapat melihat betapa tingginya semangat jati diri kaum Melayu ketika itu. Penduduk Malaya yang inginkan kemerdekaan daripada British sanggup menggadaikan barang kemas dan wang ringgit semata-mata untuk diberikan kepada Tunku Abdul Rahman sebagai perbelanjaan ke London.

Senario menyentuh hati itu ditunjukkan sewaktu Tunku memberitahu bahawa beliau dan rakan-rakan berdepan masalah kewangan menuntut kemerdekaan di London.

Filem arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba ini menampilkan pelakon berbakat besar seperti Rusdi Ramli, Maya Karin, Adlin Aman Ramli, Sharifah Amani, Kavita Sidhu, Nanu Baharuddin, Ida Nerina dan Douglas Lim.

Lagu tema yang bertajuk Hati nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza yang dicipta oleh Sharon Paul, lirik yang ditulis sendiri oleh Shuhaimi Baba turut mendapat sambutan menggalakkan.

Malah, filem yang menelan belanja RM3 juta itu pernah merangkul pelbagai anugerah antaranya Anugerah Khas Juri di Festival Filem Malaysia ke-21 (2008), Penyunting Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 (2008) dan Skor Muzik Asal Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 (2008).

4. Tanda Putera

Tanda Putera merupakan sebuah filem drama politik Malaysia yang ditayangkan pada 2013 yang berkisarkan kisah benar mengenai tragedi 13 Mei 1969.

Filem ini mengisahkan persahabatan akrab antara Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak dan timbalannya, Tun Dr Ismail yang terpaksa berahsia dan mengetepikan masalah kesihatan masing-masing bagi memulihkan keadaan negara ekoran peristiwa hitam tersebut.

Tun Razak terpaksa menyimpan rahsia mengenai penyakit leukemia yang dihadapinya kerana tidak mahu keluarga tertekan selain bimbang akan keselamatan negara.

Mereka berdua juga berkongsi doktor yang sama. Bilik bacaan di rumah Tun Dr Ismail menjadi klinik rahsia bagi rawatan mereka oleh Dr Macpherson, tanpa pengetahuan sesiapa termasuk ahli keluarga Tun Dr Ismail sendiri.

Filem arahan dan terbitan Datin Paduka Shuhaimi Baba itu membariskan pelakon seperti Rusdi Ramli sebagai Tun Abdul Razak, Zizan Nin (Tun Dr Ismail), Faezah Elai (Tun Rahah), Linda Hashim (Toh Puan Norasyikin), Tunku Abdul Rahman (Kamarulzaman Taib), Sahee Shamsuddin (Najib Tun Razak), Razif Hashim (Johari Tun Razak), Ismaizal Yusoof (Tawfik Tun Ismail), Ali Steven Shorthose (Dr Macpherson) dan Norman Hakim (IGP Hanif).

Karya yang sarat dengan emosi dan tragedi itu pernah mencetuskan kontroversi tentang ketepatan kandungannya selepas penayangan perdana berhubung dengan rusuhan 13 Mei.

Ahli Parlimen pembangkang mendakwa bahawa filem itu menggambarkan kaum Cina dan DAP dalam konteks yang negatif.

Filem ini telah memenangi tiga anugerah dalam Anugerah Skrin 2014 dan lima anugerah (termasuk Anugerah Khas Juri) dari sebelas pencalonan dalam Festival Filem Malaysia ke-26.

5. Leftenan Adnan

Leftenan Adnan merupakan sebuah filem drama perang arahan Aziz M Osman yang mengisahkan perjuangan pegawai tentera Tanah Melayu, Adnan Saidi yang juga dikenali sebagai Leftenan Adnan bertarung nyawa demi menyelamatkan Tanah Melayu daripada penaklukan tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Filem yang ditayangkan pada tahun 2000 itu turut memaparkan babak pertempuran terakhir Rejimen Askar Melayu berdepan kemaraan tentera Jepun dengan jumlah lebih ramai di Bukit Chandu sehingga mengorbankan Leftenan Adnan.

Filem tersebut menelan belanja sebanyak RM2.5 juta dengan jumlah pelakon dan krew melebihi 1,000 orang, sekali gus mencatat rekod sebagai filem paling mahal dan penerbitan terbesar dalam sejarah perfileman Melayu ketika itu.

Leftenan Adnan berjaya merangkul dua anugerah di Festival Filem Asia Pasifik ke-45 dan empat anugerah di Festival Filem Malaysia ke-15.

Filem ini menampilkan pelakon berbakat besar seperti Hairie Othman, Umie Aida, Faizal Hussein, Rusdi Ramli, Shaharuddin Thamby, Rambo Chin dan Wahid Senario. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram