SIAR: Dianggap pencetus gelombang baharu filem Malaysia, 3 buah tangan arahan Rahim Razali perlu ditonton


  • Hiburan
  • Sabtu, 19 Ogos 2023

Rahim merupakan graduan daripada University Of Melbourne di Australia. — ZSA Productions

BAGI generasi baharu, kehadiran Datuk Rahim Razali dalam industri seni tanah air lebih dikenali sebagai seorang pelakon berpengalaman yang seringkali membawa watak sampingan.

Ini kerana sejak awal 2000-an, beliau dilihat hanya berlakon dan membintangi beberapa filem besar di dalam negara antaranya KL Menjerit, Embun, Ola Bola, Cinta, Munafik dan Mat Kilau.

Bagaimanapun, lebih awal daripada itu, Rahim yang kini berusia 84 tahun sebenarnya memulakan karier dalam bidang seni negara sebagai pengarah, penerbit dan penulis skrip.

Untuk rekod, perjalanan seni graduan daripada University Of Melbourne di Australia ini bermula sejak 1959 apabila beliau bertugas sebagai pembantu penyiaran di Radio Malaya yang kini dikenali dipanggil RTM.

Bermula daripada situ, beliau mula membina nama termasuk melalui penglibatannya bersama beberapa agensi penerbitan swasta sama ada sebagai penerbit mahupun pengarah.

Dalam tempoh tersebut, anak jati Batu Gajah, Perak ini berjaya menghasilkan kira-kira 50 drama televisyen dan termasuk lapan buah filem dengan naskhah pertama arahanya Abang pada 1981.

Penglibatan Rahim dalam pembikinan filem bagaimanapun hanya bertahan tidak sampai 20 tahun apabila beliau mengarahkan filem terakhirnya pada 1998 yang berjudul Iman Alone.

Namun, meskipun singkat, beberapa karya dihasilkannya dalam tempoh tersebut ternyata memberikan satu kejutan terhadap industri perfileman tanah air.

Ini kerana kehadiran beberapa naskhah arahan Rahim disifatkan pemerhati sebagai satu tanda pemula kepada gelombang baharu filem Melayu yang ketika itu masih terperangkap dengan karya komedi dan saduran.

Kelainan ditampilkan beliau itu bukan sahaja daripada segi gaya penceritaan tetapi juga usahanya mengangkat tema lebih dekat dengan perkembangan sosial masyarakat di Malaysia yang ketika itu sedang melalui proses pemodenan.

Berikut Majoriti senaraikan tiga filem arahan Rahim wajib ditonton untuk bukan sahaja memahami pemikirannya, malah bagi menelusuri perkembangan sejarah kemajuan filem negara:

1. Abang (1981)

Filem pertama Rahim berjudul Abang yang dihasilkan pada 1981 mengisahkan mengenai watak utamanya, Fuad Din, yang hilang selama 10 tahun tanpa sebarang kata.

Bagaimanapun, pada satu hari, Fuad yang merupakan anak sulung di dalam kepada keluarga itu membuat kejutaan apabila menghantar telegram atau surat ke rumah bapanya untuk mengumumkan kepulangannya dari London.

Perkara itu ternyata menimbulkan konflik dalaman bersama keluarganya yang masih tidak mengetahui mengenai sebab kepulangannya.

Filem pertama arahan Rahim ini turut mengambil latar mengenai perubahan hidup orang Melayu yang ketika itu mula menikmati kejayaan dalam bidang ekonomi hasil daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilaksanakan kerajaan.

Selain Rahim yang memegang watak utama sebagai Fuad, naskhah ini turut dibintangi beberapa nama besar antaranya Noor Kumalasari, Ahmad Yatim, Datuk Ahmad Tamimi Sirega dan Datuk S. Roomai Noor.

Pemburu (1982)

361846481_808107997561393_3562298675149341267_n (1)

Ahmad Yatim memegang watak sebagai Khamis. — SIAR

Setahun selepas naskhah sulungnya Rahim tidak menunggu lama untuk tampil dengan filem kedua arahannya iaitu Pemburu yang ditayangkan pada 1982.

Ia berkisar tentang pemberontakan seorang lelaki, Khamis yang cuba membalas dendam selepas kematian yang berlaku terhadap anak perempuannya yang dirogol dan dibunuh dengan kejam.

Rencana untuk menjejaki penjenayah terbabit dilakukan dengan dengan bantuan dua rakan baiknya iaitu Sita dan May.

Dalam nashkah ini, Rahim turut mengekalkan beberapa pelakon yang ditampilkan dalam filemnya sebelum ini iaitu Ahmad Yatim, dan Datuk Ahmad Tamimi Sirega di samping penampilan pelakon lain seperti Aznah Hamid dan Fatimah Yassin.

3. Matinya Seorang Patriot (1984)

Filem ketiga arahan Rahim ini mengisahkan mengenai konflik yang berlaku susulan daripada kematian seorang pejuang politik nasionalis veteran berpengaruh bernama Haji Shaaban.

Kematian tokoh tersebut menimbulkan huru-hara di kampung tersebut yang terletak luar daripada Kuala Lumpur.

Pada masa sama, seorang anaknya, Safuan turut mengesyaki bahawa kematian bapanya mempunya kaitan dengan syarikat milik ayahnya iaitu Melati Holding.

Menerusi filem bergenre thriller ini, Rahim turut mengangkat tema perebutan harta, kuasa dan juga cinta.

Antara pemegang watak di dalam naskhah ini ialah Eman Manan, Noor Kumalasari, Datuk S. Roomai Noor, Mustapah Maarof dan Azmil Mustapha. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram