Perkeso turun padang, bela nasib pengarah filem terlantar akibat kemalangan


  • Massa
  • Selasa, 18 Jul 2023

Mohammed Azman ketika melawat Wan Saiful di kediamannya di Rawang pada Selasa.

NASIB pengarah filem yang bekerja sendiri, Wan Saiful Shahrizan Wan Nawi yang terlibat dalam kemalangan sewaktu dalam perjalanan untuk meninjau lokasi penggambaran pada Mac lalu mendapat pembelaan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Wan Saiful, yang dilindungi oleh Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso, layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) beserta peralatan sokongan pemulihan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed menziarahi Wan Saiful, 40, di kediaman beliau di Rawang, Selangor pada Selasa sambil menyerahkan faedah Perkeso.

Turut mengiringi Mohammed Azman ialah Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Khalil Salleh; Setiausaha Profima, Zaidatul Shima Mohamad Hanafiah, Ketua Bahagian Skim Pekerjaan Sendiri, Mohamad Haron Othman dan Pengarah Perkeso Negeri Selangor, Ismail Abi Hashim.

Pada 16 Mac lalu, Wan Saiful bersama rakan produksi mengalami kemalangan di Kilometer 269 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke arah utara ketika dalam perjalanan menaiki van dari Rawang menuju ke Perlis bagi membuat tinjauan lokasi penggambaran untuk filem Aku Awang Belanga.

Dia dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak untuk rawatan dan dimasukkan ke wad selama 12 hari.

Kemalangan tersebut mengakibatkan kecederaan serius hingga dia mengalami patah paha kanan, patah tulang belakang, patah rusuk kiri, patah rusuk kanan serta lumpuh dari paras pinggang ke bawah.

Wan Saiful (baring) ketika menerima kunjungan daripada Perkeso.

Sebaik menerima perkhabaran tentang keadaan Wan Saiful, Perkeso mengambil tindakan segera membuat semakan caruman dan mendapati dia merupakan pencarum SKSPS dan layak menerima faedah Perkeso.

Susulan itu, dia layak menerima FHUS di bawah SKSPS berjumlah RM4,960.01 berdasarkan cuti sakit selama 120 hari yang diberikan oleh doktor yang merawatnya.

Dia juga dibekalkan alat sokongan pemulihan commode chair dan lampin pakai buang dewasa.

Mohammed Azman menyerahkan faedah tersebut kepada Wan Saiful, yang mencarum dengan SKSPS menerusi inisiatif SPS Padanan Caruman di bawah kategori SPS Seni pada 30 Disember 2022.

Ini bermakna, dia dilindungi SKSPS sehingga 29 Disember 2023.

Menerusi SPS Padanan Caruman, kerajaan membiayai 80 peratus daripada bayaran caruman SKSPS bagi Pelan Caruman 2 iaitu sebanyak RM186.20, manakala individu bekerja sendiri hanya perlu membayar baki 20 peratus atau RM46.60 untuk mencukupkan bayaran Pelan 2 Caruman SKSPS bernilai RM232.80 bagi perlindungan selama 12 bulan.

SKSPS, di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789), memberi perlindungan kepada golongan bekerja sendiri daripada bencana termasuk penyakit dan kemalangan sewaktu menjalankan pekerjaan tersebut.

Wan Saiful yang dilindungi oleh SKSPS Perkeso, layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara berserta peralatan sokongan pemulihan.

Selain FHUS, skim itu juga menyediakan manfaat seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa, Kemudahan Pemulihan Jasmani/Vokasional, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Pinjaman Pendidikan.

Untuk memudahkan individu bekerja sendiri mendapat perlindungan SKSPS, Perkeso menyediakan empat Pelan Caruman mengikut pilihan masing-masing dengan caruman serendah RM157.20 setahun atau RM13.10 sebulan.

Sehingga 9 Julai 2023, seramai 2,775 anak seni aktif mencarum di bawah Akta 789. Perkeso telah meluluskan 27 tuntutan faedah SKSPS yang melibatkan sektor kesenian, membabitkan jumlah bayaran terkumpul sebanyak RM80,117 sejak 2020.

Walaupun SKSPS dikuatkuasakan pada 1 Jun 2017, hanya seramai 666,000 individu bekerja sendiri dilindungi Perkeso, berbanding lebih 2.9 juta orang bekerja sendiri di negara ini.

Sehubungan itu, Perkeso menyeru mereka yang bekerja sendiri supaya segera berdaftar dan mencarum dengan SKSPS agar kebajikan mereka dan keluarga dapat dibela sekiranya terlibat dalam kemalangan, mengalami penyakit khidmat ataupun meninggal dunia yang berkaitan dengan aktiviti perkerjaan sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan