PELAKON, Hairul Azreen membuat keputusan mengejutkan apabila mengumumkan bersara daripada bidang lakonan.
Perkara itu memaklumkan mengenai perkara tersebut ketika tampil dalam segmen 3 Pagi Era pada Isnin.
“Saya Hairul Azreen saya nak mengumumkan yang saya berhenti berlakon for good (untuk kebaikan),” ujarnya.
Mengulas mengenai punca di sebalik keputusan yang dilakukan itu, Hairul berkata, ia dibuat kerana sudah berpuas hati dengan segala pencapaian dikecapi sepanjang 15 tahun penglibatannya sebagai anak seni.
“Sebab saya dah buat semua benda dan dah jadi seorang pelakon stunt, pelakon filem. Kemudian saya doa nak jadi hero filem dan ALLAH makbulkan pula sekarang saya jadi action hero filem dalam Malbatt.
"Malah filem-filem saya seperti Paskal membuatkan 40 peratus orang jadi tentera. Dan insya-ALLAH, Malbatt filem terakhir saya sebagai pelakon dan tentera,” jelasnya.
Susulan daripada itu, Hairul berkata, filem Malbatt: Misi Bakara yang bakal ditayangkan pada 24 Ogos depan bakal menjadi penampilan terakhirnya di layar perak.
Katanya, keputusan yang diambil itu adalah muktamad dan dia berbangga kerana dapat menjadikan filem bertema patriotik itu sebagai karya lakonan terakhirnya.
“Ini betul, sebab ALLAH dah bagi saya macam-macam melainkan saya menjadi manusia yang tak bersyukur. Saya dah buat belakang tabir, jadi stuntman, pelakon extra, investor filem, pengarah, produser semua benda saya dah lalui.
“Perjuangan saya biarlah saya akhir dengan filem yang membanggakan saya iaitu Malbatt,” katanya.
Hairul berkata, filem Malbatt: Misi Bakara yang bakal ditayangkan pada 24 Ogos depan bakal menjadi penampilan terakhirnya di layar perak.
Dalam pada itu, Hairul yang juga suami kepada selebriti, Hanis Zalikha berkata, langkah mengejut yang diambil itu juga antara lain bagi membolehkannya meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak yang kini sedang melalui fasa membesar.
Katanya, ini kerana komitmen dalam bidang lakonan dilihat memberikan satu cabaran besar buatnya untuk menyediakan waktu yang mencukupi untuk bersama anak-anaknya.
"Saya akan aktif di media sosial, cuma berlakon tidak lagi kerana saya tidak mahu sia-siakan masa bersama ibu bapa saya serta anak-anak. Bayangkan bila saya berlakon saya akan fokus dengan satu watak serta buat badan selama enam bulan.
"Sehinggakan anak-anak membesar dengan cepat tanpa saya sedari dan saya tidak dapat bersama mereka ketika proses itu. Jadi saya dan Hanis selepas ini akan fokus pada perniagaan pula,” ujarnya.
Malbatt: Misi Bakara bakal mula ditayangkan pada 24 Ogos ini mengisahkan kejadian sebenar pertempuran dua hari melibatkan anggota Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt) 1 di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia pada 3 Oktober 1993.
Kehadiran pasukan tentera Malaysia di negara tersebut antara tahun 1992 hingga 1995 adalah sebagai pasukan pengaman.
Dalam tempoh tersebut, seramai 114 anggota 19 RAMD Malbatt 1 dihantar di wilayah bergolak berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram