‘Perlukan karya out of par’, Nadhir desak Finas lebih teliti pilih filem sebelum beri dana, elak bikin karya syok sendiri


  • Hiburan
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Nadhir tampil mengatakan filem tersebut agak ketinggalan zaman untuk disajikan kepada penonton sekarang. — Instagram/NadhirNasar

BARU-BARU ini, filem komedi arahan A.R. Badul yang bertajuk Vik2ria Secret menjadi bualan orang ramai berikutan hanya mampu meraih kutipan sebanyak RM5,058 dengan jumlah penonton 346 orang selepas menerima Dana Kandungan Digital berjumlah RM550,000 daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Bukan hanya pulangan yang sedikit selepas menerima suntikan dana dari badan induk perfileman negara tersebut, malah ramai juga warganet termasuk beberapa penggiat industri tampil mengkritik kualiti naskhah dari pelawak legenda tanah air itu.

Sehinggakan terdapat peminat filem tanah air berani mencadangkan agar pihak Finas lebih teliti dalam pemilihan skrip dan memaklumkan kriteria yang bagaimana sesuai untuk mendapat dana dari badan kerajaan itu.

Mana tidaknya, ramai daripada warganet sependapat bahawa filem yang mendapat bantuan dari pihak Finas sepatutnya menjadi filem yang mampu memberi didikan terutamanya kepada golongan muda.

Antara yang tampil menyuarakan pendapatnya ialah pelakon sedang meningkat naik, Nadhir Nasar yang mengatakan filem tersebut agak ketinggalan zaman untuk disajikan kepada penonton sekarang.

Nadhir ataupun nama sebenarnya Ahmad Nadhir Ahmad Nasar berkata, dengan peluang diberikan pihak Finas tersebut sepatutnya boleh diberi kepada penggiat seni yang lebih menginginkannya dan akan menghasilkan naskhah lebih sesuai untuk masyarakat.

WhatsApp Image 2023-07-21 at 15.53.48

Poster filem Vik2ria Secret yang mengundang kritikan orang ramai.

"Kita perlu new stuff, something yang fresh, something yang intelektual.

“Kita perlukan benda yang out of par. Kita tahu ramai bakat di luar sana nak berikan terbaik untuk industri tetapi mereka tak dapat peluang. Ini yang kita perjuangkan...banyak short film best tapi kenapa yang keluar begitu,” katanya kepada Majoriti ketika ditemui pada Astro Showcase yang diadakan di Zepp, Kuala Lumpur pada Khamis.

Pelakon berusia 27 tahun itu juga tidak takut jika ada pihak melabelkannya sebagai seorang yang lantang bersuara kerana bagi Nadhir itu adalah tugasnya untuk membuat sesuatu perubahan bagi industri seni tanah air.

“Saya tak cakap yang saya betul atau salah tapi saya menjalankan tugas sebagai orang yang nak stabiliti dalam industri.

"Nadhir tweet pun sebab saya rasa perlu buat. Jika saya tak buat, siapa lagi nak buat kan. Mungkin Nadhir orang baharu tapi saya tak kisah," katanya.

Terdahulu menerusi satu ciapan di Twitter, Nadhir dengan lantang mempersoalkan penghasilan filem Vik2ria Secret yang dianggap tidak setanding dengan dana yang diperoleh daripada Finas.

"Apabila ditanya, katanya acah nak bikin filem untuk mak cik dan pak cik di hulu. Mereka pun dah layan Netflix. Kau yang ketinggalan.

“Dana yang banyak, tetapi poster pun macam budak intern yang buat. Tak tahu nak rasa marah ke apa. Terlalu awal untuk dibahaskan, kau masih mentah. Bukan kami mentah, kau je yang dah expired,” demikian ciapannya di laman Twitter.

WhatsApp Image 2023-07-21 at 15.53.50-2

Tangkap layar ciapan dari Nadhir.

Dalam perkembangan sama, Nadhir berkata, industri media memainkan peranan besar membentuk masyarakat dan disebabkan itulah filem yang dihasilkan perlu mempunyai pengajaran.

Pelakon drama Projek High Council itu bagaimanapun tidak menafikan bahawa industri memerlukan keseimbangan dalam membuat sesebuah karya yang mana ada filem yang masih memberikan didikan namun kekal memenuhi permintaan penonton.

“Industri ini kita perlu stabiliti. Maksudnya kita perlukan cerita yang light tapi kita perlu juga cerita yang deep. Cerita deep untuk critical thinkers. Cerita light untuk orang balik pukul 7 dan tak nak fikir, dia nak layan drama sahaja. Kedua-dua genre itu kita perlukan.

“Tapi kita tak perlu story yang light sangat. Kerana bagi saya media mainkan peranan penting dalam kehidupan. Apabila budak-budak tengok (filem atau drama), mereka akan membesar begitu.

"Apabila kita buat educational story, budak akan didedahkan dengan educational background,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram