Ketahui apa batuk kokol, semak simptom utama serta pencegahan wajar diambil


  • Sihat
  • Rabu, 23 Ogos 2023

Penyakit batuk kokol semakin tersebar meluas dalam kalangan masyarakat Malaysia. — Gambar hiasan

PENYAKIT batuk kokol kian meresahkan masyarakat susulan ia semakin merebak secara meluas dan boleh mengancam kesihatan orang ramai.

Pakar kesihatan awam, Dr Ahmad Samhan Awang di Twitter menjelaskan batuk kokol yang turut dikenali sebagai pertussis boleh mengakibatkan radang paru-paru, otak dan sawan selain mudah berjangkit serta boleh membawa maut.

Kumpulan berisiko dijangkiti penyakit itu adalah kanak-kanak berusia kurang 12 tahun, manakala gejala lebih teruk berlaku dalam kalangan bayi dan kanak-kanak berumur bawah lima tahun.

Simptom awal penyakit batuk kokol

Dikategorikan sebagai penyakit pernafasan dan sangat mudah berjangkit melalui hidung, wabak itu juga disamakan dengan batuk yang teruk diikuti bunyi nyaring ketika bernafas.

Berikut merupakan beberapa petanda awal yang boleh dikesan pesakit batuk kokol.

Antara tanda awal akan dapat dilihat melalui kesan hidung berair, hidung tersumbat, mata merah dan berair, demam serta batuk berterusan.

ndms

Pesakit akan mengalami kesan hidung berair dan batu berpanjangan. — Gambar hiasan

Selepas seminggu atau dua minggu, tanda dan simptom akan bertukar lebih teruk dengan batuk yang berpanjangan akan merangsang pesakit untuk muntah sekali gus mengakibatkan muka menjadi merah ataupun biru.

Selain menyebabkan kepenatan melampau, pesakit juga akan menyedari bunyian 'whoop' bernada tinggi ketika bernafas.

Kes terkini di Malaysia

Terbaharu, sebanyak 329 kes batuk kokol dengan 23 kematian dilaporkan di seluruh negara setakat 19 Ogos lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, bagaimanapun angka itu adalah 52.8 peratus lebih rendah jika dibandingkan pada tempoh sama pada tahun 2019 dengan 697 kes dicatatkan.

Menurut beliau, daripada jumlah terkini 329 kes itu, sebanyak 219 kes (66.6 peratus) adalah terdiri daripada warganegara, manakala 110 kes lagi merupakan bukan warganegara.

radzii

Muhammad Radzi Abu Hassan melaporkan beberapa jangkitan penyakit batuk kokol dialami masyarakat Malaysia. — Awani

"Bayi berumur bawah 12 bulan adalah kumpulan umur yang mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu 189 kes, manakala kanak-kanak berumur di antara satu tahun hingga 10 tahun mencatatkan sebanyak 94 kes dan selebihnya berumur 11 tahun dan ke atas.

"Sabah merekodkan kes tertinggi sebanyak 181 kes, diikuti Selangor 51 kes, Kuala Lumpur dan Putrajaya 15 kes, Pahang dan Perak masing-masing 13 kes, Melaka dan Negeri Sembilan masing-masing 12 kes dan Johor (sembilan kes).

"Selain itu, Sarawak (8 kes), Kelantan (7 kes), Kedah dan Terengganu masing-masing (tiga kes), serta Pulau Pinang dan Labuan masing-masing satu kes, manakala tiada kes dilaporkan di Perlis," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Muhammad Radzi berkata, tiada kes baharu yang dikesan di sekitar kawasan tempat tinggal dalam kejadian di daerah Rompin, Pahang baru-baru ini yang melibatkan tiga kes dari sebuah keluarga disahkan mengalami penyakit tersebut.

Katannya, kesemua kes melibatkan dua orang anak dan ibu mereka itu telah diberikan rawatan dan berada dalam keadaan stabil.

F3yG0SgbMAIW6Z4

Langkah pencegahan batuk kokol

Penurunan antibodi bagi golongan dewasa serta ketiadaan perlindungan vaksin dalam kalangan kanak-kanak merupakan dua faktor utama yang telah didokumentasikan punca pertussis merebak dalam masyarakat.

Rawatan segera ke hospital membolehkan penyakit itu dirawat menggunakan antibiotik serta sokongan perubatan yang lain.

Namun, beberapa langkah pencegahan dapat membantu mengelakkan daripada jangkitan tersebut dengan amalan minum air secukupnya serta pengambilan jus ataupun buah-buahan amatlah digalakkan.

buah

Pengambilan buah-buahan dalam kuantiti banyak mampu membantu mencegah jangkitan batuk kokol. — Gambar hiasan

Makan makanan dalam kuantiti yang sedikit dapat membantu anda mengelakkan muntah selepas batuk selain udara yang bersih serta bebas daripada asap tembakau dan pembakaran boleh mencegah bahan penggalak kepada batuk.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan pihaknya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan penyakit itu terus terkawal dan tidak menjadi masalah kesihatan utama di negara ini.

Golongan kanak-kanak terutama bayi adalah kumpulan yang terdedah kepada jangkitan pertussis. Sehubungan itu, ibu bapa digesa untuk memastikan anak-anak mendapatkan imunisasi lengkap mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan di klinik kesihatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram