Lantai bot pecah, 2 parah terpelanting dipukul ombak kuat di perairan Mersing


  • 112
  • Selasa, 22 Ogos 2023

Dua individu dilaporkan cedera parah akibat terpelanting selepas bot dinaiki pecah di perairan Pulau Tinggi di Mersing. — Bernama

SEORANG lelaki dan seorang wanita cedera parah selepas lantai bot yang dinaiki mereka pecah, dipercayai akibat dipukul ombak kuat di perairan Pulau Tinggi di Mersing, Johor pagi Selasa.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, lelaki berusia 29 tahun cedera di bahagian pinggang, manakala wanita berusia 34 tahun, cedera di kaki.

Sementara itu, lapan mangsa lain hanya cedera ringan, kata beliau dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, sebanyak 10 orang iaitu empat lelaki termasuk dua kru dan enam wanita berada di dalam bot berkenaan.

"Ketika kejadian, kesemua mereka dalam perjalanan ke Pulau Aur sebelum lantai bot pecah selepas dihempas ombak yang kuat sehingga mengakibatkan mereka terpelanting dan segelintir mengalami kecederaan," katanya.

Bagaimanapun, kesemua mereka diselamatkan oleh bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Marin sebelum dibawa ke Hospital Mersing untuk rawatan selanjutnya.

Abdul Razak berkata, kes disiasat oleh Jabatan Laut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram