[VIDEO] Sopan 'sound' Sanusi bergurau ketuk kepala wanita, Amira Aisya dikritik tak selantang 'time' tegur PMX


  • Massa
  • Selasa, 22 Ogos 2023

Tangkap layar Muhammad Sanusi memukul kepala seorang wanita ketika mengadakan lawatan di Kampung Budi, Pokok Sena.

KECOH di laman media apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noh bertindak memukul kepala seorang wanita ketika mengadakan lawatan di sebuah kampung dekat Kampung Budi, Pokok Sena, Kedah pada Sabtu.

Perbuatan itu menerima kecaman segelintir pihak yang menganggap ia sebagai kesalahan besar dan tidak menghormati kaum wanita.

Perkara itu turut diluahkan oleh Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amira Aisya Abd Aziz di laman Twitter peribadinya.

Jelasnya, Muhammad Sanusi perlu menjaga adab apabila ingin bergurau dengan rakyat dan tidak menormalisasikan semua perkara sebagai jenaka.

"Jagalah kehormatan orang ramai. Nak bergurau, jaga adab. Lebih-lebih lagi pemimpin berpangkat besar macam Menteri Besar.

"Pemimpin besar buat, pengikut akan ikut sekali. Jangan normalisasi semua benda sebagai jenaka, tunjukkan sedikit rasa hormat," katanya menerusi ciapan di Twitter pada Isnin.

Terdahulu, memetik laporan Malaysiakini, Sanusi berkata, tindakannya itu hanyalah untuk menegur wanita tersebut yang juga seorang pelajar kerana lambat memohon bantuan.

“Lepuk dengan sehelai kertas (surat) saja, bukan dengan kayu. Melawak dengan anak-anak, lagu tu (begitu) lah cara kami kat kampung ni melawak.

“Anak tu nak masuk politeknik kelmarin dulu (baru-baru ini). Pada hari itu, baru bagi surat minta sumbangan. Kena lepuklah tapi tetap bagi juga RM650 untuk beli barang dia masuk politeknik,” katanya.

Teguran Amira Aisya kepada Sanusi dianggap lebih sopan berbanding kritikan yang dibuatnya sebelum ini kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Untuk rekod, pada Jun lalu, Amira Aisya menggesa Anwar memohon maaf secara terbuka atas tindakannya meminta nombor telefon seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun dalam sebuah program di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Memuat naik ciapan panjang di Twitter berhubung situasi tersebut, Amira Aisya melihat situasi terbabit bukan satu bentuk jenaka sebaliknya menyifatkan Anwar Ibrahim tidak menghormati kaum wanita.

F4C86WraEAEwVKS

Tangkap layar perbezaan ciapan Amira Aisya ketika menegur Sanusi (kiri) dan Anwar (kanan).

Namun, segelintir warganet mula melihat komen tersebut bersifat tidak adil dan berat sebelah jika dibandingkan dengan teguran terhadap Perdana Menteri ke-10 itu sebelum ini.

BACA: Tindakan PM berseloroh minta nombor pelajar perempuan ibarat tidak hormat kaum wanita — Muda

"Bukan main tertib ya, PMX bergurau satu dewan saksi dan faham situasi berjenaka kau bukan main siap buat video macam nak runtuh langit marah Anwar Ibrahim, dah jelas ketuk kepala wanita itu pun dikira menjatuhkan maruah, kau tak rasa munafik ke perangai macam ni," kata KamalRezuan.

"Amboi pendek kenyataan kali ini, hari itu bukan main panjang hujah komen Anwar sampai tak cukup kertas," ujar atingggg.

"Lemah lembutnya dia komen, takut kena ketuk juga ke, PMX minta nombor telefon pelajar sebelum ini nak runtuh langit awak marah," jelas Datuk_daus.

"Cepat la suruh buat permohonan maaf terbuka, panggil semua media buat pengumuman, kalau Anwar kau marah bukan main," tambah Sara Fia.

Teguran itu dibuat oleh Amira Aisya selepas seorang pelajar perempuan bertanyakan soalan mengenai bagaimana generasi muda boleh membantu Malaysia menjadi negara kelas pertama serta rancangan kerajaan untuk memulihkan semula nilai ringgit.

Menerusi klip video yang disiarkan di Astro Awani itu, Anwar dilihat memuji kepetahannya bersuara dan membangkitkan soalan dengan baik.

"Kalau saya muda saya dah minta nombor telefon dah," katanya secara berseloroh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram