Persepsi, diskriminasi dan tanggapan negatif punca penagih sukar pulih


  • Massa
  • Selasa, 22 Ogos 2023

Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat AADK 2023 berlangsung di Jelebu.

FAKTOR persepsi, diskriminasi dan tanggapan negatif terhadap bekas penagih dilihat menjadi punca penagih dadah sukar dipulihkan sekali gus berlakunya penagihan semula.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, hal yang demikian berlaku kerana mereka melihat seseorang penagih sebagai individu yang tidak berguna lagi.

"Walaupun banyak faktor lain, namun hari ini saya lihat faktor terbabit menjadi penyumbang terbesar berlakunya kes-kes penagihan berulang.

"Meskipun mereka telah mengikut program Rawatan dan Pemulihan sama ada dalam institusi (RPDI) atau komuniti (RPDK) di AADK, tetapi apabila mereka tamat, mereka sukar mendapat tempat dalam masyarakat mahupun keluarga.

"Mereka terus disisihkan, dipandang serong dan lebih malang lagi melemparkan kata- kata yang tidak sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat AADK 2023.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Chan Hong Jin dan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sembilan, Sabarudin Yeop Hamza.

hsuo

Sutekno Ahmad Belon ketika di Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat AADK 2023. — Agensi

Dalam pada itu, Sutekno berkata, stigma negatif yang dilemparkan terhadap penagih jelas memburukkan keadaan.

"Ini sebenarnya menjadi penyumbang seterusnya mempengaruhi keputusan individu yang telah menjalani rawatan dan pemulihan kembali menagih dadah," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sistem sokongan lain terutamanya keluarga dan masyarakat amat diperlukan bagi memastikan mereka kekal dalam kepulihan.

"Bantulah mereka untuk mencapai kepulihan kelak dengan menukar persepsi negatif yang selama ini menjajah fikirkan kita semua.

"Bebaskan atau merdekakan fikirkan dan tanggapan kita semua dengan menzahirkan sokongan moral kepada mereka yang memerlukan tempat untuk terus berjuang mendapatkan kepulihan sepanjang hayat.

"Saya percaya, dengan sokongan ini, ramai klien-klien AADK boleh menjalani kehidupan yang sejahtera dan bahagian bersama keluarga tersayang," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram