[VIDEO] Lampu isyarat rosak, pelajar sekolah rendah cedera dirempuh motosikal ketika melintas di Langkawi


  • 112
  • Selasa, 22 Ogos 2023

Tangkap layar dua kanak-kanak sedang melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Matsirat, Langkawi.

SEORANG kanak-kanak lelaki dilaporkan cedera akibat dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Matsirat, Langkawi, Kedah pada Isnin.

Ketika kejadian, mangsa difahamkan sedang melintas bersama kakaknya sebelum dilanggar kenderaan terbabit ketika berhenti di tengah jalan.

Dirakamkan menerusi kamera dashcam, insiden dikatakan berlaku kira-kira pukul 1.58 petang itu tular di laman media sejak Selasa.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, siasatan awal mendapati ibu mangsa memberhentikan kenderaannya di kiri bahu jalan untuk menghantar mangsa berusia sembilan tahun ke sekolah terbabit.

Beliau berkata, kakak mangsa yang berusia 14 tahun kemudiannya menemani dan memimpin kanak-kanak lelaki itu keluar dari kenderaan dan melintas jalan.

"Kemalangan berlaku apabila kanak-kanak terbabit dilanggar sebuah motosikal yang datang dari arah Padang Matsirat, Langkawi ke arah Teriang.

"Akibat kemalangan, kanak-kanak itu terjatuh di atas jalan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Padang Matsirat oleh ibunya bagi mendapatkan rawatan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut beliau, mangsa mengalami kecederaan di bahagian dahi dan dagu serta luka di siku tangan kanan akibat kemalangan tersebut.

Shariman menambah, hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berpunca dari mangsa melintas jalan bukan di lintasan pejalan kaki dan lampu isyarat pejalan kaki tidak berfungsi.

Beliau memaklumkan, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) dan penunggang motosikal sedang dikesan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram