ADALAH menjadi perkara rutin bagi juruterbang pesawat malang yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada Khamis, Heikal Aras Abdul Azim, 45, untuk mendapatkan restu ibu, Noorhizan Mohd Salleh, sebelum melakukan penerbangan.
"Tidak kiralah berapa kerap dia pergi bertugas, setiap kali itu dia (Heikal Aras) akan datang ke rumah dan mohon restu," Noorhizan, 68, ketika ditemui di kediamannya di Desa Pinggiran Putra, Kajang, Selangoir pada Jumaat.
"Dari dulu lagi arwah memang macam tu, walaupun sekarang dah jadi ayah kepada tiga orang anak, setiap kali nak terbang dia tetap jumpa (saya), salam dan minta blessing (restu)," katanya dan menambah anaknya itu tinggal berhampiran.
Beliau menyifatkan Heikal Aras, yang baru pulang ke Malaysia kira-kira dua minggu lepas selepas menjalani kursus penerbangan selama tiga bulan di Amerika Syarikat, sebagai seorang anak yang sangat baik dan sentiasa berfikiran positif dalam segala hal.
Abdul Azim Aras, 76 (dua, kanan) menunjukkan gambar anaknya, juruterbang Allahyarham Heikal Aras ketika ditemui di kediaman Desa Pinggiran Putra pada Jumaat. — Bernama
Meskipun sedih dengan pemergian anak keduanya itu yang disifatkan 'terlalu awal', beliau dan suami, Abdul Azim Aras, 76, tetap reda dengan ketentuan ALLAH.
"Arwah kalau ada masalah seberat mana pun, dia akan hadapi dengan tenang. Dia kata itu hanya masalah dunia.
"Antara lima anak, arwah paling penyabar dan sangat bertanggungjawab selain seorang yang sopan santun serta peramah," katanya.
Sepuluh individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun terkorban setelah pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang itu terhempas.
Lapan yang maut adalah enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram