Nahas Elmina: Muhamad Hafiz rider terbaik Foodpanda


  • Massa
  • Jumaat, 18 Ogos 2023

Perkongsian poster Foodpanda di Facebook.

SALAH seorang mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, pada Khamis, Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, dikategorikan sebagai ‘rider’ terbaik Foodpanda.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Foodpanda menerusi perkongsian dalam satu hantaran di Facebook, pada Jumaat.

Foodpanda yang memuat naik poster turut menzahirkan ucapan takziah buat seluruh keluarga mangsa yang berasal dari Taman Sidam, Sungai Petani, Kedah.

“Dukacita dimaklumkan bahawa rider kita Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh telah terlibat dalam tragedi kapal terbang terhempas di Elmina pada Khamis," tulisnya.

Terdahulu, polis mengesahkan 10 mangsa maut termasuk dua daripadanya membabitkan orang awam yang secara kebetulan melalui lokasi nahas berkenaan dalam kejadian pada pukul 2.40 petang Khamis.

Selain Muhamad Hafiz, nahas pesawat jenis Beechcraft 390 (Premier 1) itu turut mengorbankan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.

Mangsa lain yang maut ialah dua juruterbang pesawat, Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim.

Identiti lima penumpang lain ialah Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.

Seorang lagi orang awam yang maut ialah pemandu e-hailing, Sharipuddin Shaari, 43, yang merupakan mangsa terakhir dikenal pasti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram