[VIDEO] Heikal 'terbang' lebih tinggi, isteri pembantu juruterbang kongsi mesej akhir tak berbalas


  • Tular
  • Jumaat, 18 Ogos 2023

Heikal Aras merupakan pembantu juruterbang disahkan maut bersama seorang lagi juruterbang dan enam penumpang dalam kejadian pesawat terhempas tersebut.

PILU, hanya itulah yang mampu diungkap oleh warga maya selepas melihat tangkap layar di WhatsApp isteri kepada pembantu juruterbang pesawat ringan yang terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor pada Khamis.

Melalui perkongsian tangkap layar itu, Christine Yong menghantar pautan kejadian itu dan bertanyakan keadaan suaminya, Heikal Aras Abdul Azim kira-kira pukul 4.12 petang mengenai kejadian yang berlaku di Elmina namun tidak berbalas.

“You okay? (Awak okay?),” soalnya.

Bagaimanapun, mesej tersebut tidak dibaca oleh Heikal Aras.

mesej-isteri

Tangkap layar video yang dikongsi di Instagram Christine.

Lebih menyedihkan lagi, Christine turut berkongsi sebuah video memaparkan tangkap layar tersebut bersama beberapa keping gambar kenangan mereka sekeluarga.

Pada masa sama, dia turut berterima kasih atas ucapan takziah dan kata-kata semangat yang diberikan buat dirinya dan keluarga.

“Terima kasih atas kata-kata dan doa yang baik. Tolong hentikan sebarang spekulasi kerana perkara ini memberi kesan kepada keluarga dan anak-anak yang sedang melalui saat sukar.

“Saya akan berkongsi sebarang berita mengenai arwah, buat masa ini mohon semua faham ruang yang kami perlukan terutamanya anak-anak. Dia (Heikal Aras) terbang lebih tinggi sekarang, berehatlah Heikal,” katanya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan sebuah kapal terbang pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) dilaporkan terhempas di sebuah jalan raya dekat Elmina 8, Shah Alam, Selangor.

Heikal Aras, 43, yang merupakan pembantu juruterbang disahkan maut bersama seorang lagi juruterbang dan enam penumpang dalam kejadian pesawat terhempas tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram