Gurauan manja pemandu e-hailing mangsa nahas pesawat jadi kenangan terakhir isteri sebelum 'pergi'


  • Massa
  • Jumaat, 18 Ogos 2023

Gambar Sharipuddin (dua dari kiri) bersama keluarganya yang dikongsikan Hazwani. — Facebook

PERSOALAN mengenai identiti seorang pemandu e-hailing yang maut selepas terlibat dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, pada Khamis akhirnya terjawab.

Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh seorang saudara terdekat mangsa yang menggunakan nama akaun Hazwani Hamdan di Facebook.

Dalam satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat, Hazwani berkata, pemandu e-hailing itu yang merupakan saudara kepada suaminya itu adalah Sharipuddin Shaari atau dikenali sebagai Pokcik Din.

"Ya ALLAH.. Mami seharian ulas pasal nahas pesawat kat Elmina dengan dedi (suami) dari petang semalam. Tiba-tiba pagi tadi suami dapat berita, pemandu e-hailing yang turut sama terkorban dalam nahas tu org yang kami kenal.

"Al-Fatihah Pokcik Din... Pokcik Din tu suami kepada ibu saudara suami, Hairi Rezal Iskandar. Ya ALLAH Ya Rahman. Ketar tangan nak terima berita berat ni.

"Mohon semua doakan kesejahteraan arwah Sharipuddin Shaari, semoga rohnya dirahmati ALLAH. Mohon semua kenalan mami dedi sedekahkan Al-Fatihah buat arwah dan doakan semoga ALLAH ampunkan dosa-dosa arwah.

"Semoga Acik Suriana Su (isteri arwah) dan anak-anak tabah atas kehilangan ketua keluarga. Sabar banyak-banyak atas ujian dari ALLAH ini," ujar Hazwani.

Dalam perkongsian tersebut, dia turut berkongsikan gurauan terakhir antara mangsa dan isterinya melalui aplikasi WhatsApp.

367422197_2460706540765802_6102171165919638514_n

Gurauan terakhir antara Sharipuddin dan isterinya beberapa jam sebelum dirinya maut dalam nahas membabitkan pesawat terhempas pada Khamis. — Facebook/HazwaniHamdan

Dalam pesanan ringkas berkenaan, arwah dilihat menghantar gambar menunjukkan luka dialaminya di bahagian muka akibat pemakaian spek mata.

Arwah turut secara berseloroh mengatakan bahawa kecederaan dialami itu membuatkan wajahnya kelihatan lebih ganas.

"Ganas, tapi luka sikit mengadu dengan bini, Adoiii. hahahaha," balas isterinya dalam pesanan ringkas tersebut yang berlaku kira-kira lebih kurang satu jam setengah sebelum insiden berkenaan.

Polis mengesahkan 10 mangsa maut termasuk dua daripadanya membabitkan orang awam yang secara kebetulan melalui lokasi nahas berkenaan dalam kejadian pada pukul 2.40 petang Khamis.

Selain Sharipuddin Shaari, nahas pesawat jenis Beechcraft 390 (Premier 1) itu turut mengorbankan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun.

Mangsa lain yang maut ialah dua juruterbang pesawat, Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim.

Identiti lima penumpang lain ialah Kharil Azwan Jamaludin, Shaharul Amir Omar, Mohamad Naim Fawwaz Mohamed Muaidi, Muhammad Taufiq Mohd Zaki dan Idris Abdol Talib @ Ramali.

Seorang lagi orang awam ialah penunggang motosikal yang bekerja sebagai rider penghantar makanan dikenali sebagai Muhamad Hafiz Muhamad Salleh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram