KONSERT Search Fantasia Bulan Salju tetap mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat meskipun tarikh yang ditetapkan bertembung dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu.
Konsert anjuran MIC Entertainment Group itu telah diadakan di Arena All Star, Genting Highlands, Pahang dan telah berjaya menarik 4,000 peminat setia kumpulan itu yang cukup popular dengan lagu-lagu bergenre rock seperti Isabella, Rozana, Gadisku dan sebagainya.
Ia sekali gus membuktikan kewibawaan jenama Search yang ditunjangi oleh Amy selaku vokalis utama, Hillary Ang (gitar), Nasir (bass) dan Man Keedal (gitar) masih kuat malah kekal relevan sehingga ke hari ini.
Konsert Search Fantasia Bulan Salju yang bermula tepat pukul 8.45 malam itu terlebih dahulu disajikan dengan persembahan pembukaan muzik padang pasir yang menggambarkan pengembaraan Search bersama peminat.
Tanpa banyak bicara, Search terus memukau khalayak dengan lagu Derap Komando dan Langit dan Bumi.
Konsert Search Fantasia Bulan Salju menerima lebih 4,000 jumlah kehadiran di Arena All Star, Genting Highlands, Pahang.
Pada konsert itu, Datuk Suhaimi Abdul Rahman atau lebih mesra dengan panggilan Amy tampil dengan sut merah yang tampak cukup bergaya, versatil malah lebih bertenaga.
Ruang konsert kemudiannya bergema dengan lagu Honky Tong Kosong dan Fantasia Bulan Madu apabila peminat turut menyanyikan lagu itu bersama.
Itu merupakan antara keistimewaan kumpulan Search yang cukup bijak bermain dengan emosi dan perasaan pendengarnya.
Seleksi lagu-lagu ‘slow rock’ dipersembahkan antaranya ialah Rozana, Laila Nama Mu Teratas dan Nigina.
Sekali lagi, gemaan vokal peminat bersatu dengan vokal Amy seolah-olah kesemua yang hadir sudah bersedia dengan seleksi lagu-lagu Search yang sentiasa meniti di bibir.
Setelah itu, Hujan, Meniti Titian Usang, Gadisku dan Kejora pula dipersembahkan secara medley.
Amy berjaya memukau penonton menerusi suaranya merdunya.
Tidak hanya memainkan lagu yang berentak keras untuk memukau penonton, ini merupakan antara konsep terbaharu yang diterjemahkan Search menerusi konsert Fantasia Bulan Salju.
Isabella antara lagu wajib yang harus dipersembahkan kerana lagu ini juga menjadi antara judul filem yang turut membariskan Search dan Amy khasnya sebagai teraju utama filem tersebut.
Set yang cukup keras memberi kejutan buat Naimi Daini, namun gadis yang berusia 17 tahun itu cukup konsisten dengan peralatan muzik dram yang menjadi 'nyawanya'.
Kemunculan Naimi pastinya menjadi tumpuan peminat Search meskipun ini adalah konsert berskala besar kedua buatnya selepas Nusafest.
Diari Habil Qabil, Yin & Yang dan Gothic Malam Edan menjadi ‘battle’ yang cukup sengit menyaksikan Man Keedal, Nasir, Amy, Hillary dan Rie Tsuji yang berada di posisi 'keyboard' komited dengan peranan masing-masing.
Inilah Search yang sudah dimiliki hatinya oleh peminat yang rata-rata sudah berusia 40an, 50an dan 60an.
Tidak perlu aksi luar biasa, namun mereka punya kredibiliti dan tenaga yang cukup pesona seperti mana Rolling Stones, Pink Floyd dan sebagainya.
Cakap Memang Murah, Fenomena, Paranoid, Isi Atau Kulit dan Pelesit Kota antara lagu yang menghiasi ‘encore’ konsert Search Fantasia Bulan Salju.
Lagu Pawana sentiasa menjadi penantian peminat di konsert Search.
Tirai konsert dilabuhkan dengan lagu Pawana yang dipetik daripada album Fenomena, sekali gus menjadikan Konsert Search Fantasia Bulan Salju antara persembahan berprestij dengan Search merupakan kumpulan pertama yang mengadakan konsert di puncak Genting Highlands.
Sistem bunyi yang cukup 'mesra' telinga itu disemarakkan dengan pancaran lampu yang cukup indah dan melenyapkan rasa lamanya konsert yang berdurasi 180 minit itu.
Secara keseluruhannya, Konsert Fantasia Bulan Salju adalah revolusi dan empayar Search. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram